DEMI TUGAS RELA BERKORBAN

oleh : Mohd Taufek Mohd Noh
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 7 Jun – TIDAK dapat cuti beraya mungkin perkara biasa didengar namun keadaan itu pasti mengundang tekanan dan kesedihan apatah lagi jika ini kali pertama mereka perlu beraya berjauhan daripada keluarga.

Dalam keriangan umat Islam menyambut ketibaan 1 Syawal, tidak semua orang diberi peluang untuk meraikan dan menikmati hari kemenangan yang dinanti bersama kaum keluarga tercinta dan sanak-saudara. Tidak semua orang juga yang bertugas diberi pelepasan bercuti untuk bersama keluarga terutama mereka yang merupakan anggota pasukan keselamatan.

Menurut salah seorang Polis Bantuan MARA, “semua umat Islam menantikan suasana pagi Syawal, begitu juga saya kerana itulah detik kegembiraan bagi meraikan kemenangan dan mengerjakan amal ibadat selain hari yang mempertemukan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga serta jiran tetangga.” katanya.

Ujarnya lagi, “ini semua demi tugas yang diamanahkan untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan setempat, tugas yang dipertanggungjawabkan itu adalah lebih penting walaupun hiba di pagi Syawal tanpa insan-insan tersayang.”

Itulah pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang adakalanya harus meninggalkan kepentingan peribadi iaitu keinginan bersama keluarga ketika bulan puasa dan hari raya demi tugas terhadap negara. Baik pada bulan Ramadan mahu pun Syawal, tugas yang dipertanggungjawab tetap dijalankan sebaiknya tanpa mengira masa atau mengenal erti penat.

Bagi Ketua Polis Bantuan MARA, Asppb. Shahran Said, bulan Ramadan atau hari raya tidak boleh dijadikan sebagai satu alasan kepada anggota untuk tidak menjalankan tugas sebaiknya.

“Diharapkan anggota yang bekerja pada hari raya lebih bersemangat, berintegriti dan menjalankan tugas dengan penuh kesedaran agar suasana setempat kekal aman dan tenteram,” ujarnya menghargai pengorbanan yang dilakukan setiap anggota terlibat.

 

“Tanggungjawab menjaga keamanan perlu dilakukan setiap masa kerana tiada kompromi dalam soal tugas dan tanggungjawab iaitu selari dengan slogan Amanah Rakyat.”

 

“Bukan sahaja pengorbanan anggota polis perlu dihargai, tetapi kepada keluarga mereka juga kerana memahami tugas dan komitmen polis sebagai ‘man power’ pasukan keselamatan MARA,” ujarnya sambil memberitahu hanya 13 kekuatan anggota pegawai polis yang akan bertugas pada hari raya.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.