Siti Nor Aishah hampir ditikam

MELALUI detik mencemaskan ketika rumah dimasuki perompak membuatkan Siti Nor Aishah Md Sabri, 22, menyimpan cita-cita mahu menjadi pegawai polis sebaik sahaja tamat pengajian.

Ketika saat genting itu, Siti Nor Aishah hampir ditikam dengan gunting oleh perompak yang memecah masuk ke rumahnya dalam kejadian tidak lama dahulu.

“Ketika itu, semua ahli keluarga saya ‘dipegang’ oleh perompak kecuali ibu saya. Dialah yang menjadi ‘hero’ dalam kejadian itu, menyelamatkan kami sekeluarga yang ketika itu tidak mampu bergerak,” katanya kepada S2.

Menurutnya, kejadian berlaku pada pukul 2.50 pagi. Ketika itu, Siti Nor Aishah mahu merehatkan diri selepas mentelaah pelajaran sebagai persediaan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), keesokan harinya.

“Itu merupakan sejarah hitam dalam hidup saya dan keluarga. Sejak itu, saya bercita-cita mahu menjadi pegawai polis,” kata anak keempat daripada lima adik beradik itu.

Walaupun dihantui pengalaman hitam itu, dia bersyukur kerana walau apa pun yang terjadi, keluarga tetap menjadi perkara utama dalam hidupnya.

Mengimbas kenangan bersekolah, katanya, dia sering terlibat dengan aktiviti kokurikulum, antaranya menyertai kadet polis, acara menembak dan menghadiri kem motivasi.

Tambah gadis yang sedang mengikuti pengajian ijazah dalam bidang pengurusan dan keusahawanan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu, selain aktiviti lasak di sekolah, dia gemar mengembara serta melakukan sukan lasak seperti mendaki dan memanjat tebing.

“Sungguhpun saya suka aktiviti lasak, namun kehidupan saya tidak lari daripada norma gadis-gadis lain iaitu meminati solekan dan fesyen,” ujarnya.

Siti Nor Aishah merupakan antara finalis yang menyertai pertandingan pencarian gadis LolaLoveCosmetics yang dianjurkan Lola Love Cosmetics baru-baru ini.

Sumber : http://m.utusan.com.my/gaya-hidup/siti-nor-aishah-hampir-ditikam-1.683693

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: