Berkat Ramadan Dari Sudut Limpahan Ekonomi

Program Raikan Ramadan MARA Johor berakhir dengan solat terawih bersama pelajar-pelajar Tahfiz Al-Syatirie.

Johor Bahru, 3 Jun – Bulan Ramadan seharusnya tidak dinilai melalui aspek spiritual atau kerohanian sahaja malah perlu dilihat dari pelbagai sudut lain temasuk limpahan ekonomi.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Dato’ Ustaz Badlishah Alaudin, keberkatan Ramadan bukan sahaja membuka ruang untuk kita beribadah kepada Allah swt bahkan pada masa yang sama membuka banyak peluang penjanaan pendapatan kepada kita.

“Ini dapat dibuktikan pelbagai jenis perniagaan mampu menjana pendapatan yang berlipat kali ganda pada bulan puasa seperti kebanjiran pengunjung ke bazar Ramadan, jualan baju dan kelengkapan, kuih muih raya dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya lagi, bulan Ramadan perlu dilihat sebagai batu loncatan kepada kita memartabatkan Islam dalam bidang penguasaan ekonomi dengan menggiatkan diri secara aktif dalam ekonomi yang seterusnya akan membuka peluang pekerjaan setempat dan pada masa yang sama menjanjikan penjanaan pendapatan yang lumayan kepada diri kita.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah sempena program Raikan Ramadan anjuran MARA Negeri Johor di sini hari ini.

Mengulas berkenaan program Raikan Ramadan ini, Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Hashimi Mahat berkata, program ini merupakan satu inisiatif MARA Negeri Johor mengimarahkan Ramadan dengan menyemai sikap ukhwah dan kerjasama dalam kalangan warga kerjanya.

“Antara pengisian program ini adalah gotong-royong penyediaan bubur lambuk dan kuih tradisional serta penyampaian sumbangan bubur lambuk kepada orang ramai oleh warga MARA Johor sendiri,” katanya.

Ulasnya lagi, selain daripada ceramah yang disampaikan program ini turut menyampaikan sumbangan kepada 50 pelajar Maahad Tahfiz Al-Syatirie, diikuti majlis berbuka puasa dan diakhiri dengan Solat Sunat Tarawih secara berjemaah.

Program telah dihadiri oleh wakil-wakil pusat pentadbiran MARA di peringkat daerah dan negeri Johor, wakil-wakil jabatan kerajaan atau agensi serta para usahawan.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.