Komuniti MARA Beramal Di Rumah Anak Yatim

Pengarah MARA Wilayah Persekutuan, YM Raja Sarimah Raja Jamaluddin (tengah) bersama subsidiari MARA dan anak-anak yatim yang diraikan.

KUALA LUMPUR, 2 Jun – MARA meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) melalui program “Sedetik Bersama, Ukhuwah Selamanya” di bulan Ramadan sebagai tanda berkongsi rezeki bersama dengan mereka yang memerlukan.

Seramai 36 anak yatim dari Rumah Penyayang Nur Iman teruja apabila diraikan dalam majlis berbuka puasa di di sini. Program CSR ini bermula dengan aktiviti gotong-royong memulih dan menceriakan rumah jagaan berkenaan.

Menurut Pengarah MARA Wilayah Persekutuan, YM Raja Sarimah Raja Jamaluddin, program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya dalam memastikan golongan tidak bernasib baik mendapat perhatian yang sewajarnya.

Pengarah MARA Wilayah Persekutuan, YM Raja Sarimah Raja Jamaluddin menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

“Bagi pihak MARA, Ramadan adalah masa terbaik bagi mendekati anak-anak yatim yang tidak punyai sesiapa untuk bergantung. Kita mahu menggembirakan mereka.”

“Program CSR kali ini diadakan dengan kerjasama lebih 60 orang anggota termasuklah warga kerja dan pelajar-pelajar terdiri daripada MARA Wilayah Persekutuan, GIATMARA, Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM), Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Institut Kemahiran MARA Kuala Lumpur, Yayasan Pelajaran MARA, Rural Capital Berhad (RCB) dan Pelaburan MARA Berhad (PMB)” Katanya lagi.

Sementara itu, pengasas Rumah Penyayang Nur Iman, Ustazah Sharimah Ali berkata, pihaknya sangat menghargai inisiatif yang dilakukan YM Raja Sarimah dan seluruh komuniti MARA.

“Alhamdulillah, rezeki anak-anak ini sentiasa murah menjelang Ramadan dan Syawal. Saya harap pihak-pihak lain turut mengambil inisiatif sama seperti dilakukan MARA,” katanya.

This entry was posted in Korporat, Pendidikan. Bookmark the permalink.