Rina mahu rancakkan ekonomi luar bandar

RINA Mohd Harun (tengah) menggoreng murtabak sambil beramah mesra bersama peniaga selepas merasmikan Bazar Ramadan Jalan Raja Alang. – Foto Rosdan Wahid

KUALA LUMPUR: Sebaik diumumkan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dalam barisan Kabinet, Rina Mohd Harun, sudah pun mempunyai perancangan untuk merancakkan ekonomi luar bandar. 

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), berkata ia adalah untuk mengubah stigma luar bandar yang sering dikaitkan dengan kemiskinan dan kemunduran dari segi ekonomi.

“Saya masih terkejut dengan perlantikan ini. Saya dapat berita mengenainya pun menerusi rakan yang berkongsi pautan laporan berita pada malam tadi.

“Sejujurnya kami dalam barisan Kabinet tidak tahu mengenai perlantikan ini, dan ia mungkin dibincang di peringkat atasan, tetapi saya mengambil tanggungjawab ini dengan penuh amanah.

“Bagi melihat perspektif portfolio ini, saya bercadang untuk merancakkan ekonomi luar bandar dari segi pembangunan, kesejahteraan, penduduk dan keluarga yang lebih baik,” katanya kepada media selepas merasmikan Bazar Ramadan Kampung Baru, di sini, sebentar tadi.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melawat bazar di sekitar kawasan itu.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, berkata sempena Ramadan yang mulia ini beliau berharap masyarakat terus bersatu sungguhpun mempunyai ideologi mahupun pendapat politik yang berbeza.

“Saya adalah Ahli Parlimen bandar tetapi diberi portfolio luar bandar, nampaknya saya kena jaga satu Malaysia.

“Di bulan Ramadan ini, ambil peluang untuk mempertingkatkan amalan dan perbaiki diri, bersama kita jadikan negara ini lebih baik,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/05/427747/rina-mahu-rancakkan-ekonomi-luar-bandar

This entry was posted in Korporat, Lain-Lain. Bookmark the permalink.