UniKL lahirkan usahawan kreatif

(DARI kanan) Qhairul Aizat Shahrull Ramadzan, Mohd Ariff Majmi, Muhamad Muhaimin Aizat Musselihat dan Ketua Seksyen Advancement and Continuing Education (ACE) UniKL MIIT, Suhaili Din menunjukkan hadiah kemenangan yang diperoleh oleh Keriang Production melalui permainan video konda-kondi. UTUSAN/Ahmad Muzammil Haflan

BERTEPATAN dengan visi dan misi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk me­lahirkan usahawan tekno bertaraf dunia, pelbagai usaha telah dilaksanakan terma­suk memastikan kualiti pem­belajaran yang diketengahkan menepati keperluan tersebut, selain memenuhi kehendak industri. 

Tentunya matlamat itu juga akan direalisasikan oleh semua kampus UniKL termasuk UniKL Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT) yang telahpun mempunyai pro­jek perintis untuk memba­ngunkan usahawan tekno dalam bidang multimedia kreatif di negara ini.

Pembangunan usahawan tek­no dalam kalangan pelajar UniKL MIIT itu digerakkan melalui Creative Industry Business Development Centre (CRIB) yang ditubuhkan pada tahun lalu bagi memberi latihan dan membentuk pelajar sehingga mampu menjadi usahawan tekno yang berjaya di negara ini.

Pengarah CRIB, Mohd. Ariff Majmi berkata, CRIB adalah inkubator kepada pelajar-pelajar UniKL yang berminat mewujudkan per­niagaan dan mengkomer­sialkan produk keluarannya kepada pasaran luar.

Beliau berkata, buat permulaan, hanya empat pelajar yang menyertai CRIB dan dua daripadanya telah bergabung tenaga mengetengahkan permainan video berkonsepkan permainan rakyat negara ini iaitu konda-kondi.

“Mereka ini adalah kumpulan pertama yang dilatih oleh CRIB dan semuanya adalah pelajar yang sepatutnya melakukan latihan praktikal di industri.

“Sebaliknya mereka melakukan latihan tersebut di UniKL CRIB dan dalam tempoh itu, mereka dikehendaki menu­buh­kan syarikat sendiri serta mengembangkan produk yang dihasilkan sehingga mampu diketengahkan dalam pasaran.

“Ini bermakna, sepanjang tempoh latihan praktikal itu, mereka bekerja untuk membangunkan syarikat sendiri dengan dibantu oleh tenaga pengajar UniKL,” katanya.

Menurut Mohd. Ariff, usaha untuk membangunkan usahawan tekno diambil setelah melihatkan banyak projek akhir tahun pe­lajar yang berpotensi untuk dikomersialkan terhenti setakat di UniKL sahaja.

Oleh itu katanya, melalui CRIB, pihaknya akan cu­ba mendapatkan dana dan memper­kenalkan pelajar-pelajar tersebut de­ngan pelanggan yang dapat membantu mereka mengembangkan lagi hasil ciptaan dan syarikat mereka.

“Harapan kami, mereka yang telah dilatih ini mampu bergerak sendiri sebaik tamat latihan di CRIB dan bergelar usahawan tekno berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Mohd. Ariff berkata, walaupun pelajar terbabit telah tamat latihan di CRIB, pihaknya tetap akan memberi latihan secara percuma dari semasa ke semasa dalam usaha meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran serta memantapkan lagi kedudukan mereka dalam bidang perniagaan.

Sementara itu, dua pelajar perintis CRIB, Qhairul Aizat Shahrull Ramadzan, 26, dan Muhamad Muhaimin Aizat Musselihat, 24, telah bergabung tenaga menubuhkan sebuah syarikat, Keriang Production yang bakal mengetengahkan permainan vi­deo berkonsepkan permainan rakyat iaitu konda-kondi.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Multimedia (Kepujian) dalam Rekaan Multimedia Interaktif itu memilih menyertai CRIB kerana tidak mahu bekerja makan gaji dan berniaga adalah pilihan tepat untuk mereka.

Qhairul Aizat memberitahu, permainan video konda-kondi itu adalah projek tahun akhirnya, tetapi untuk membangunkan atau mengkomersialkannya, dia memerlukan rakan yang mempunyai kepakaran berbeza bagi memantapkan lagi permainan tersebut.

Jelasnya, melalui permainan itu, mereka menerapkan watak-watak klasik dalam cerita rakyat Melayu iaitu Tanggang, Badang, Raja Bersiung dan Batu Belah Batu Bertangkup yang ditukar menjadi raksasa.

“Untuk menarik minat kanak-kanak bermain permainan ini, kami juga menerapkan elemen lain seperti api, air dan banyak lagi mengikut setiap peringkat permainan,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Muhaimin pula berkata, untuk menambah baik lagi permainan tersebut, mereka juga menyertai beberapa pertandingan sepanjang berada di CRIB.

Katanya, melalui pertandi­ngan itu, mereka mendapat maklum balas khususnya daripada pihak juri untuk mening­katkan dan menambah baik permainan tersebut sebelum ia boleh dipasarkan.

Muhammad Muhaimin berkata, sepanjang berada di CRIB, mereka telah menyertai lima pertandingan dan hasilnya berjaya meraih satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa. Produk tersebut turut memena­ngi anugerah antara lima terbaik.

“Ini adalah langkah pertama kami untuk cuba membina perniagaan dan harapan kami, permainan ini dapat dibangunkan dengan lebih baik dan mampu dipasarkan dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/unikl-lahirkan-usahawan-kreatif-1.675301

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.