Tak menang tangan siapkan tempahan baju

TUKANG Jahit, Ramlah Darmo. – Foto Supian Ahmad

KUALA LUMPUR: Lambakan koleksi baju siap dipakai atau Ready To Wear (RTW) di pasaran atau dijual secara dalam talian tidak menjejaskan tempahan tukang jahit untuk digayakan pelanggan di pagi lebaran, tahun ini. 

Tinjauan BH di Medan MARA, Jalan Raja Laut, mendapati ramai tukang jahit sedang tekun menjahit pelbagai fesyen pakaian untuk memastikan tempahan diterima pelanggan dapat disiapkan sebelum menjelang Syawal.

Sememangnya, Medan MARA antara tempat tumpuan warga kota membeli-belah kerana banyak deretan butik tudung, pakaian wanita dan lelaki, selain lokasi itu berhampiran Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) yang turut menyediakan keperluan sama.

Tukang Jahit, Ramlah Darmo, yang juga pemilik butik jenama RDA Collection berkata, setiap tahun tempahan diterima meningkat sehingga 70 peratus berbanding hari biasa.

Katanya, tempahan ditutup sejak dua bulan lalu kerana tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi menjahit baju raya, walaupun mempunyai lima pekerja bagi membantu menyiapkan tempahan.

“Ramai pelanggan lama dan baru yang datang membuat tempahan baju raya tahun ini. Saya tidak nampak kewujudan perniagaan dalam talian, jualan baju RTW di butik fizikal daripada pelbagai jenama termasuk pereka fesyen terkenal membunuh pasaran kami.

“Seperti biasa, masih ramai pelanggan yang datang pada saat akhir untuk menempah baju. Saya terpaksa sediakan buku rekod untuk tempahan yang lewat.

“Buku itu dianggap sebagai tempahan ‘kecemasan’. Saya buat perjanjian dengan pelanggan supaya merungut jika baju mereka tidak dapat disiapkan sebelum Syawal,” katanya kepada BH.

Ramlah yang sudah 30 tahun tahun menjalankan perniagaan kedai jahit, berkata berdasarkan pengalaman lalu, beliau akan menjahit pakaian ditempah dua bulan sebelum raya bagi mengelak rungutan pelanggan.

“Tahun ini, saya juga terpaksa membawa pulang tempahan untuk disiapkan tempahan di rumah, ” katanya.

Tukang Jahit, Zainal Abidin Odin dari Shyza Design, berkata setiap tahun beliau menerima lebih 500 tempahan baju raya untuk wanita dan lelaki.

Katanya, peranan tukang jahit masih relevan walaupun baju RTW banyak dijual di mana-mana saja pusat beli-belah atau butik.

Bagi individu yang cerewet dan mementingkan keselesaan mereka lebih gemar menempah pakaian daripada tukang jahit berbanding beli yang sudah siap.

“Kemahiran tukang jahit penting kerana mereka bukan saja kreatif, tetapi juga bijak memberikan cadangan kepada pelanggan fesyen apa yang bersesuaian dengan imej dan personaliti mereka.

“Jadi ada pelanggan yang tidak kisah membayar lebih kerana mereka mendapat koleksi pakaian yang memenuhi cita rasanya. Bagi saya, untuk tempahan yang sempurna mereka perlu mencari tukang jahit yang bagus,” katanya.

Berbeza tukang jahit lain, Zainal Abidin tidak menutup tempahan daripada pelanggan dan kedainya hanya ditutup pada 1 Syawal.

“Tahun ini, trend tempahan baju adalah kebaya, kebarung dan kurung moden berbanding tahun lalu ramai gemar potongan peplum,” katanya.

Tukang jahit, Rosila Mohd Salleh, berkata tempahan baju mula diambil pada Disember sehingga akhir Februari lalu bagi mengelakkan kesuntukan masa kerana tidak mempunyai ramai pekerja.

Katanya, sungguhpun dibuka awal tempahan diterima khusus persalinan raya meningkat tiga kali ganda berbanding pakaian untuk harian atau acara majlis.

Beliau percaya cara itu dapat memberi ruang pelanggan untuk menghantar tempahan di kedai kami untuk mengelakkan kelewatan.

“Ini menunjukkan masih ramai selesa menggunakan perkhidmatan tukang jahit berbanding dengan membeli baju siap,” katanya.

Sepanjang Ramadan ini beliau hanya menerima tempahan memotong dan mengubahsuai pakaian.

“Dalam tempoh satu jam saya boleh memotong 10 jubah. Ini tidak termasuk mengubahsuai seperti mengecilkan pakaian dan sebagainya.

“Untuk memotong saja saya boleh mendapat pulangan lumayan sekiranya dibandingkan pada hari biasa,” katanya.

Sumber : https://www.bharian.com.my/wanita/fesyen/2018/05/428119/tak-menang-tangan-siapkan-tempahan-baju

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.