Muzium Bersama Komuniti meriah Perzim erat hubungan penduduk dengan Muzium Warisan dan Sejarah Naning

PELAJAR Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, Melaka menyertai permainan ting-ting.

ALOR GAJAH 20 Mei – Muzium Warisan dan Sejarah Naning yang terletak di Simpang Ampat di sini sudah beroperasi sejak Mei tahun lalu dan sehingga kini telah menerima lebih 5,000 pengunjung. 

Pengunju­ngnya bukan hanya datang dari kawasan setempat iaitu sekitar Alor Gajah sebalik­nya pelajar dan pelancong dari luar Melaka meskipun masih ramai penduduk di kawasan itu sendiri tidak menyedari kewujudan muzium tersebut.

Bagi mendekatkan muzium tersebut dengan masyarakat, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) baru-baru ini menganjurkan program Sehari Muzium Bersama Komuniti melibatkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada penduduk setempat dan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Kehadiran penduduk dari kawasan Taboh Naning dan kira-kira 50 pelajar dari Maktab Sains Rendah Mara (MRSM) Alor Gajah dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) cawangan Melaka memeriahkan program tersebut sekaligus mendekatkan diri orang ramai dengan muzium berkenaan.

Sepanjang program yang diadakan di pekarangan muzium itu, pelbagai program dijalankan antaranya pengenalan kepada permainan tradisional seperti ting-ting, galah panjang, jentik getah, congkak, batu seremban dan memanah.

Turut diadakan per­tandingan anyaman serta gubahan pulut kuning dan sirih junjung serta cabutan bertuah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Taboh Naning, Datuk Latipah Omar. Turut hadir Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas.

Menurut Latipah, program itu bertujuan menarik lebih ramai pengunjung ke muzium itu dan secara tidak langsung memper­kenalkannya sebagai destinasi pelanco­ngan negeri ini.

“Komuniti di kawasan ini perlu mengambil kesempatan untuk memajukan diri mereka dengan menjalankan aktiviti perniagaan seperti kraftangan, produk tempatan, inap desa dan kedai makan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.

“Program ini berpotensi me­ningkatkan taraf ekonomi penduduk dan peluang yang ada haruslah direbut,” katanya.

Pada program itu Latipah turut melancarkan Pakej Lawatan Ilmiah muzium tersebut terma­suk lawatan berpandu, tayangan video serta lawatan ke Makam Dol Said dan Tapak Batu Megalit di Taboh Naning dengan bayaran RM12 setiap seorang.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/melaka/muzium-bersama-komuniti-meriah-1.676296

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.