UniKL bimbing pelajar majukan diri

PARA peserta Program maju Diri (PMD) 2018 bersama fasilitator dari UniKL MIIT di pekarangan SMK Bukit Tinggi, Bentong, Pahang baru-baru ini.

INSTITUT Teknologi Informasi Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL-MIIT) dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tinggi, Bentong, telah menganjurkan Program Maju Diri (PMD) 2018 di dewan sekolah berkenaan di Bentong, Pahang baru-baru ini.

Program itu melibatkan 25 fasilitator dari UniKL-MIIT iaitu enam anggota perwakilan pelajar sesi 2018/2019, 11 orang dari kelas MPU 2232 – Interpersonal Skills (L03), tujuh orang dari kelas IMD 22603 – Typography (L01), dan seorang dari sekretariat UniKL MIIT, dengan Malik Fadzil Sulaiman bertindak sebagai pegawai pengiring. Bagi pihak pelajar pula, seramai 87 orang terlibat iaitu 74 dari SMK Bukit Tinggi manakala 13 orang lagi dari SMK Sri Layang.

Barisan fasilitator yang diketuai Muhammad Taufiq Alimin Ahmad Puat mula berkumpul seawal pukul 7 pagi bagi melakukan kerja-kerja membersihkan dewan dan membuat persiapan sebelum program bermula. Beliau turut memberikan taklimat kepada para peserta mengenai perjalanan program. Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa unit bagi melakukan latihan dalam kumpulan (LDK).

Pembahagian para pelajar ini dibuat lain daripada kebiasaan apabila mereka diasingkan dalam kumpulan mengikut saiz kasut dan bulan kelahiran. Terdapat 10 buah kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai seorang fasilitator. LDK pertama yang diminta mereka melakukannya adalah membina bangunan menggunakan 20 helai kertas A4 dan segulung sellotape dalam masa 30 minit.

Ini diikuti dengan sesi bertajuk Apa Itu UniKL yang dikendalikan oleh moderator, Muhammad Aiman Mohd. Sharif, bertujuan memperkenal sedikit sebanyak tentang UniKL kepada semua peserta.

Selepas rehat dan makan tengah hari, mereka kembali duduk dalam barisan kumpulan masing-masing bagi mengikuti slot selingan iaitu Che Ton Habaq untuk menarik semangat pelajar semula. Ini disusuli dengan sesi Kau, Aku & Dia bertujuan memberikan kata-kata semangat kepada para peserta. Ada pelajar yang meluahkan perasaan masing-masing, ada juga yang bertanyakan tentang alam universiti dan tidak kurang berkongsi masalah dalam pelajaran.

Sesi Cermin Diri yang dikendalikan oleh Muhammad Taufiq Alimin mengundang air mata apabila para peserta terkesan dengan perkongsian beliau dan nasihat yang diberikannya agar mereka belajar bersungguh-sungguh, selain menghormati dan menghargai ibu bapa sementara mereka masih ada.

Bagi menghilangkan rasa sedih dan mengembalikan keceriaan peserta, aktiviti PMD 2018 diakhiri dengan tarian zumba beramai-ramai yang diiringi lagu kumpulan K-pop Twice iaitu TT.

Kesimpulannya, PMD 2018 berjalan lancar dan dianggap berjaya apabila mendapat kerjasama pelajar dari segi disiplin yang terkawal dan penglibatan aktif mereka dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Sumber : http://www.utusan.com.my/malaysia-kita/unikl-bimbing-pelajar-majukan-diri-1.673814

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.