Terus perkukuh pelaburan runcit

Tengku Ahmad Badli Shah yakin PMB Investment berada pada landasan yang baik dalam mencapai sasaran AUM sebanyak RM1.9 bilion tahun ini.

KUALA LUMPUR – PMB Investment Bhd. (PMB Investment) komited untuk terus mengukuhkan portfolio pelabur runcit pada tahun ini, didorong oleh potensi cerah yang ditawarkan segmen tersebut. 

PMB Investment me­rupakan anak syarikat milik penuh Kumpulan Pelaburan MARA Bhd. (Pelaburan MARA) yang menguruskan 15 dana unit amanah, dua dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti dan sukuk.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pelaburan MARA, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, setakat 31 Mac 2018, sebanyak 70 peratus portfolio PMB Investment terdiri daripada pelabur runcit dan selebihnya 30 peratus adalah pelabur korporat.

“Kami melihat nisbah ini sebagai satu kadar yang baik yang akan dikekalkan dengan tumpuan lebih diberikan terhadap portfolio runcit berbanding korporat pada tahun ini.

“Perlu diingatkan, meski­pun pela­bur korporat membuat pelaburan dalam nilai yang lebih tinggi berban­ding runcit, namun dari segi kestabilan jangka panjang, portfolio runcit lebih bersifat tahan lama.

“Ini kerana pelabur korporat kebia­saannya hanya melabur dalam suatu tempoh tertentu untuk menjana hasil pulangan lebih tinggi yang kemudiannya akan digunakan untuk tujuan pengembangan perniagaan mereka,” jelasnya kepada Kosmo! dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Menurut Tengku Ahmad Badli Shah, sebagai salah satu strategi untuk menarik lebih ramai pelabur runcit melabur dengan PMB Investment, pihaknya telah memulakan langkah untuk menambah baik saluran pengedaran di seluruh negara.

“Antaranya adalah menerusi ejen-ejen perun­ding unit amanah serta agensi-agensi kami yang akan memasarkan dana-dana unit amanah PMB Investment kepada orang ramai,” ujar­nya.

Setakat ini, PMB Investment mempunyai sejumlah 654 perunding unit amanah berserta 22 agensi di seluruh negara.

Sementara itu, ditanya mengenai aset di bawah pengurusan (AUM) PMB Investment yang disasarkan mencapai RM1.9 bi­lion pada tahun ini, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, setakat 31 Mac lalu, angka itu telah mencecah RM1.2 bi­lion.

“Kami yakin berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran RM1.9 bilion yang telah ditetapkan.

“Ini sekali gus mampu meningkatkannya kepada RM5 bilion menje­lang tahun 2022,” jelasnya.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/niaga/terus-perkukuh-pelaburan-runcit-1.670193

This entry was posted in Korporat, Lain-Lain, Pelaburan. Bookmark the permalink.