PELABURAN MARA Berhad (Pelaburan MARA) merangka agenda lima tahunnya, Visi 2022 (2018-2022) untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah syarikat perkhidmatan kewangan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Nazim Rahman berkata, agenda tersebut bermula pada tahun ini sehingga 2022, setakat ini jumlah nilai aset di bawah pengurusan (AUM) PMB Investment Berhad (PMB Investment) yang dicatatkan adalah RM1.1 bilion dan dijangka mencapai RM1.9 bilion menjelang Disember 2018.
Menurutnya, bagi tempoh lima tahun akan datang, AUM di jangka mencecah RM5 bilion.
“Antara strategi lain ialah Pelaburan MARA juga mengukuhkan PMB Investment melalui peningkatan dana dan mengekalkan prestasi dalam industri unit amanah, mengukuhkan aktiviti pembiayaan yang merupakan aktiviti teras serta meningkatkan aktiviti dalam teknologi kewangan (fintech).
“Pelaburan MARA juga melancarkan beberapa pelantar teknologi kewangan sebelum ini melalui PMB Investment Berhad (PMB Investment), dengan memperkenalkan aplikasi telefon pintar yang pertama pada Disember 2017. Inisiatif teknologi kewangan itu dinamakan Online Sales Lead Management System (Osem) yang berfungsi sebagai sistem pengurusan prospek jualan yang diterima melalui media sosial dan capaian digital,” katanya kepada media ketika ditemui baru-baru ini.
Selain itu, Nazim berkata, langkah lain untuk mengukuhkan Pelaburan MARA ialah dengan mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat penarafan kredit dari China, Dagong Global Credit Rating Co. pada suku pertama 2018 bagi mengukuhkan kedudukan syarikat dalam industri kewangan yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kepada pelanggan runcit dan korporat.
“Kerjasama adalah menubuhkan Agensi Penarafan Kredit milik Asing pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Dagong Malaysia Rating Services Sdn Bhd (Dagong Malaysia). Pelaburan MARA akan melaburkan atau menyumbang sebanyak 30 peratus saham iaitu RM3 juta. Ketika ini, kerja-kerja operasi giat dijalankan dan kami menjangkakan ia bakal dilancarkan pada Julai nanti,” katanya.
Beliau berkata, Dagong Malaysia berfungsi sebagai hab penyelidikan dan penarafan serta rujukan pelabur-pelabur China dan penerbit Sukuk di Malaysia serta pasaran ASEAN.
“Sumbangan penarafan kredit ini adalah sebahagian strategi kita untuk memperkasakan kedudukan kumpulan Pelaburan MARA sebagai sebuah kumpulan perkhidmatan kewangan yang merangkumi pengurusan dana, pembiayaan kewangan, khidmat nasihat korporat, perkhidmatan data pelaburan dan ini adalah antara penambahan aktiviti syarikat.
“Agensi ini akan memberikan penarafan kredit kepada mana-mana syarikat yang ingin mendapatkan pembiayaan kewangan. Kami menyasarkan nilai terbitan sukuk yang akan menerima penarafan kredit berjumlah RM3 bilion.
“Penarafan kredit ini melibatkan pelbagai sektor antaranya ialah sektor infrastruktur yang menjadi tumpuan dasar One Belt One Road (OBOR) yang diusul China. Kami juga turut memberikan penarafan kredit kepada perusahaan kecil dan sederhana (IKS) tempatan,” katanya.
Katanya, inisiatif OBOR ini merangkumi banyak negara iaitu Asean, Asia Tengah, Timur Tengah, Asia Selatan.
“Pelaburan MARA juga akan memperkasakan lima aktiviti teras sedia ada. Kami juga membantu dengan menyediakan pembiayaan berjumlah RM200 juta yang bakal memberi manfaat kepada 40 syarikat. Sehingga suku pertama tahun ini, sebanyak RM40 juta diagihkan dan melibatkan lapan syarikat,” katanya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/bisnes/pelaburan-MARA-kukuh-kedudukan-1.831824