
Ismail Sabri Yaakob (tengah) melihat model pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Majlis Pecah Tanah MRSM ATM di Bandar 34 di Bera, Pahang baru-baru ini. utusan/AHMAD ZAKKI JILAN
BERA 7 Mei – Bera yang suatu masa dahulu merupakan pekan kecil dan tertinggal jauh di belakang berbanding daerah lain, kini mengalami perubahan ketara apabila menyaksikan pembangunan pesat di daerah itu setanding dengan daerah-daerah lain.
Di bawah arkitek pembangunan Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Ahli Parlimen menyaksikan daerah dengan keluasan 2,214.44 kilometer persegi itu kini membangun begitu pesat dilengkapi pelbagai kemudahan.
Malah boleh dikatakan daerah yang mempunyai 14 tanah rancangan Felda itu mempunyai segala-gala kemudahan seperti jaringan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, klinik kesihatan dan sekolah.
Di Bera sahaja pada masa ini merekodkan 403 kilometer jaringan Jalan Persekutuan dan 104.6 kilometer jaringan Jalan Negeri, tidak termasuk jalan-jalan di kampung tradisional dan kampung Orang Asli serta Jalan Perbandaran.
Dari segi pembangunan, Bera akan dilonjakkan lagi dengan pembangunan Bandar 34 selain pembangunan bandar di Pusat Komersial Kerayong dan Triang Sentral pada masa ini.
Pembangunan Bandar 34 berkenaan bukan sahaja melonjakkan pembangunan ekonomi tetapi ia bakal menjadi hab pendidikan baharu negeri ini yang akan menyaksikan pelbagai institusi pengajian seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kolej Poly Tech Mara (KPTM), GiatMara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Limpahan ekonomi pastinya akan dapat dirasai apabila beberapa projek baharu telah dilancarkan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ATM, Jambatan Guai, Hospital dan Jalan Utama Gemas Temerloh yang sedang giat dilakukan.
Pembinaan projek ini apabila siap kelak akan meletakkan daerah Bera ke tahap yang tinggi dari segi pembangunan mengatasi daerah-daerah lain di negeri ini.
Ismail Sabri berkata, MRSM bernilai RM120 juta di tanah seluas 20 hektar itu merupakan MRSM ke-57 di negara ini yang dibina bagi memberikan kemudahan pendidikan terbaik.
Menurutnya MRSM yang akan mula dibina pada Julai 2018 itu dijadualkan siap sepenuhnya pada Julai 2020 akan memberikan impak kepada pembangunan sosio ekonomi kepada penduduk di kawasan ini khususnya masyarakat DUN Kemayan.
Katanya, ia juga akan dapat merealisasikan pembukaan bandar baharu 34 di kawasan ini yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi penduduk setempat.
“Selepas MRSM ini dibuka saya percaya penduduk di sini dan seluruh Bera akan mendapat limpahan pembangunan dan peluang ekonomi selain peluang pendidikan di sini,” katanya.
Tambahnya pembinaan sebuah kem tentera yang sedang giat dibina di kawasan itu yang sudah tentunya akan memberikan kesan kepada pembangunan ekonomi dan sosial.
Sementara itu, pembinaan Jambatan Guai yang merentasi Sungai Pahang sepanjang 770 meter itu akan memberikan manfaat terus kepada lebih 2,000 penduduk di kedua-dua kampung berkenaan.
Pembinaan Jambatan Guai bernilai RM98.5 juta dari Kampung Seberang Guai ke Kampung Guai yang dimulakan pada 23 Ogos 2017 dijangka siap sepenuhnya pada 19 Februari 2020.
Pada masa ini pembinaan dan penambahbaikan jalan terus dilakukan menyaksikan pembinaan Jalan Utama Gemas-Temerloh iaitu dari Tanjung Belenggu di sempadan Temerloh Bera ke Kerayong sepanjang 15 kilometer dengan kos kira-kira RM103 juta giat dilakukan.
Pembangunan Jalan dari Bandar Kerayong ke Simpang Sebertak sepanjang 18 kilometer bernilai hampir RM40 juta pula telah siap proses permohonan sedang dibuat bagi fasa ketiga melibatkan pembinaan jalan baharu dari Simpang Sebertak ke kawasan-kawasan Felda dan perkampungan pula.
Dari sektor kesihatan penduduk daerah ini akan mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik dengan siapnya hospital yang mempunyai 40 unit katil menjelang penghujung tahun ini.
Sementara itu, dalam melonjakkan usahawan tempatan sebuah kilang Pemprosesan, Pembungkusan dan Pengumpulan Industri Asas Tani di Bandar 32 di sini.
Pembinaan kilang bernilai RM1.2 juta yang akan beroperasi dalam waktu terdekat itu akan memberikan kesan positif dalam meningkatkan lagi bilangan usahawan melayu dan bumiputera yang berdaya saing.
Ia juga diyakini mampu mencapai sasaran mewujudkan 50 usahawan ‘BeraBest’ menjelang tahun hadapan yang mampu memasarkan produk berkualiti dan berdaya saing dalam dan luar negara.
Bera terus membangun, maju dan mampu mendahului pembangunan daerah lain kini dan pada masa akan datang, tetapi hakikatnya pembangunan tidak datang bergolek dan hanya boleh direalisasikan kerajaan BN.
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/lonjakan-limpahan-pembangunan-di-bera-1.668200