Perjuangkan penubuhan MRSM, cawangan UiTM di pedalaman

CALON Barisan Nasional DUN Liawan, Datuk Sairin Karno menyerahkan telefon bimbit kepada Pegawai Pelajaran Keningau, Masly Wahip (kanan) pada majlis santai bersama warga Majlis Guru Besar dan Warga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keningau. – Foto Francis Andin

KENINGAU: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan, Datuk Sairin Karno tekad memastikan sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Keningau diwujudkan di daerah ini.

Sairin yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, berkata pengwujudan dua institusi sudah dibincangkan dan kini di peringkat kajian untuk dilaksanakan, namun beliau akan terus memperjuangkan usaha itu hingga menjadi kenyataan.

“Cadangan kita sebelum ini untuk membina institusi penting iaitu MRSM dan cawangan UiTM telah dikemukakan kepada kerajaan.

“Jika diberi mandat sekali lagi oleh rakyat, ini komitmen saya bagi meningkatkan kemudahan serta peluang pendidikan di pedalaman,” katanya pada majlis santai bersama warga Majlis Guru Besar dan Warga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Keningau di sini, hari ini.

Yang turut hadir, calon BN Parlimen Keningau, Datuk Daniel Kinsik dan Pegawai PPD Keningau, Masly Wahip.

Sairin yang juga Ketua UMNO Bahagian Keningau, berkata dalam memperjuangkan agenda pembangunan pendidikan, usaha untuk mewujudkan sebuah sekolah menengah agama, kolej vokasional dan beberapa sekolah menengah baharu dilaksanakan.

Pada masa sama, katanya, usaha memastikan semua sekolah di kawasan DUN berkenaan dinaik taraf dengan memiliki bangunan konkrit sepenuhnya giat dilakukan menerusi peruntukan besar disalurkan Kerajaan Persekutuan.

“Selain prasarana pendidikan, usaha menaik taraf jawatan golongan pendidik akan diteruskan, antaranya memperjuangkan nasib guru sandaran yang kini sebahagian telah menjadi guru interim, selain gred jawatan pentadbir sekolah rendah agar mencapai DG56.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/05/421386/perjuangkan-penubuhan-mrsm-cawangan-uitm-di-pedalaman

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.