Mahasiswa Tahfiz UniKL bimbing anak Orang Asli

KUMPULAN Mahasiswa Program Profesional/Teknologis Huffaz UniKL Ulul Albab bersama-sama Pengetua SMK Bawong, Sungai Siput, Perak, Anuar Mamat (baju merah jambu) dalam Kem Ibadah Siri 2 di sekolah tersebut, baru-baru ini.

GOLONGAN mahasiswa adalah aset penting kepada pembangunan sesebuah ne­gara, malah mereka juga merupakan waris dan pelapis kepada kepimpinan negara di masa hadapan.

Sehubungan itu, setiap universiti perlu memainkan peranan dalam membentuk generasi mahasiswa yang bukan sahaja kaya ilmu, pada masa sama mempu­nyai nilai-nilai murni dan sema­ngat jati diri yang kukuh.

Ini kerana kecemerlangan mahasiswa tidak lagi dinilai hanya dengan kejayaan akademik, te­tapi perlu lebih menyeluruh merangkumi pelbagai aspek lain termasuk penglibatan mereka ber­sama masyarakat.

Bertepatan dengan itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menekankan terhadap usaha me­mupuk dan membangunkan sifat-sifat murni dan semangat kesukarelawanan dalam diri pelajarnya supaya mereka mempunyai keinginan untuk menyumbang semula kepada masyarakat.

Malah baru-baru ini, UniKL dengan kerjasama Unit HEM Bim­bingan dan Kaunseling, Pejabat Pen­didi­kan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Perak telah menganjurkan Kem Ibadah Siri 2 untuk anak-anak masyarakat Orang Asli di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong, Sungai Siput (Utara), Perak. SMK Bawong adalah sekolah menengah harian pertama Orang Asli di Malaysia.

Program selama dua hari bermula 27 hingga 29 April 2018 itu di­sertai 30 mahasiswa Program Profesional/Teknologis Huffaz UniKL dari kampus UniKL Malaysian Spa­nish Institute (UniKL MSI), UniKL Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) dan UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) serta dibantu oleh enam orang ustaz yang merupakan warga akademik UniKL sendiri.

Menurut Pengerusi dan Pro-Canselor UniKL, Datuk Seri Dr. Adham Baba, program itu diadakan untuk membantu para pelajar khususnya anak-anak ma­syarakat Orang Asli berkaitan Islam agar mereka lebih menghayati dan mendalami agama itu tidak kira secara teori mahupun praktikal.

Beliau berkata, antara modul yang dijalankan dalam program tersebut ialah wuduk/tahsin solat, eksplorasi ibadat, membetulkan bacaan dalam solat dan penghayatan Islam.

Jelasnya, melalui program itu, anak-anak Orang Asli diberikan pendedahan dan cara mengapli­kasikan ibadah solat dalam kehidupan harian dengan sempurna khususnya dari segi bacaan, rukun, ilmu pengetahuan dan penghayatan solat.

“UniKL sememangnya menitikberatkan keseimbangan intelektual dan kerohanian yang me­rupakan elemen penting dalam mewujudkan masyarakat yang seimbang dan progresif.

“Sebab itu, UniKL mengambil langkah melahirkan teknologis Huffaz dengan memperkenalkan program tahfiz iaitu Program Profesional/Teknologis Huffaz UniKL Ulul Albab bermula September 2016, yang memberi peluang kepada pelajar institusi tersebut untuk menjadi seorang hafiz al-Quran,” katanya.

Kem Ibadah Siri 2 itu adalah kesinambungan daripada keja­yaan Kem Ibadah Siri 1 yang telah diadakan pada April tahun lalu.

Adham berkata, kini para pelajar tahfiz boleh menyambung pengajian di UniKL dalam bidang profesional yang diminati seperti perubatan, teknologi kejuruteraan, kejuruteraan kimia dan logistik di samping meneruskan pengajian tahfiz mereka.

Jelasnya, Program Profesional/Teknologis Huffaz UniKL Ulul Albab menyediakan sistem pembelajaran yang bersepadu dan seimbang serta memenuhi nilai-nilai spiritual, intelektual selain etika Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah.

“Melalui program ini, UniKL akan dapat membangunkan ma­syarakat Islam profesional yang dinamik, moden dan berupaya berkhidmat serta menjadi contoh dalam kalangan masyarakat kita.

“Apa yang diharapkan, kami dapat memperkasakan graduan dan pelajar supaya mereka kelak boleh menjadi pemimpin dalam kerjaya dan komuniti mereka,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Kem Ibadah Siri 2 itu juga antara program anjuran UniKL iaitu Khid­mat Komuniti bagi pelajar Program Profesional/Teknologis Hu­f­faz UniKL Ulul Albab pada tahun pertama.

Beliau berkata, subjek tersebut juga adalah untuk memberi pelajar satu nilai tambah dalam membangunkan karakter yang diperlukan sebelum mereka menghadapi dunia pekerjaan kelak.

Adham berkata, usaha yang dilakukan UniKL itu selari dengan matlamat kerajaan untuk memperkukuhkan agenda bumiputera dan mempertahankan kesyumu­lan Islam serta melahirkan lebih banyak graduan huffaz yang mem­punyai kepakaran, bukan seta­kat menghafal al-Quran tetapi dilengkapi dengan kemahiran tinggi dalam bidang profesional lain.

“Terbukti bahawa Program Profesional/Teknologis Huffaz UniKL Ulul Albab ini mendukung manifesto Barisan Nasional dan ia dapat dilaksanakan sepenuhnya, malah akan diperkukuhkan lagi di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Adham yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja dan Ketua UMNO Bahagian serta calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Tenggara Johor itu turut berikrar untuk memperjuangkan pendidikan selain memfokuskan kepada kesejahteraan ekonomi, keselamatan, kesihatan, kebajikan dan kemudahan awam serta agama sebagai salah satu daripada manifesto beliau.

Sumber: https://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/mahasiswa-tahfiz-unikl-bimbing-anak-orang-asli-1.665429

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.