Ketereh Koridor Ilmu

ANNUAR bersama calon-calon BN menunjukkan Manifesto Parlimen Ketereh pada Majlis Pelancaran Manifesto Parlimen Ketereh di Pasar Ketereh, malam tadi. – Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) Ketereh melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan menggariskan 14 teras utama dan 79 tawaran kepada penduduk kawasan itu.

Manifesto bertemakan ‘Bersama Hebatkan Ketereh’, dengan memberi penekanan terhadap agama, pendidikan dan ekonomi bagi memartabatkan Ketereh sebagai Koridor Ilmu itu disempurnakan calon kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa di Pasar Ketereh di sini.

Teras manifesto berkenaan ialah memartabatkan syariat dan syiar Islam; menjadi pusat pendidikan koridor ilmu; memperkasakan dan mengupayakan belia; membina infrastruktur sukan; memperkasakan keusahawanan ekonomi digital; mengangkat martabat wanita.

Membasmi kemiskinan; membela warga emas; menggiatkan aktiviti kebudayaan; menaik taraf kemudahan tentera; menaik taraf rangkaian infrastruktur; memperhebatkan perbandaran; membina dan membaik pulih perumahan serta mengutamakan kebajikan rakyat.

Majlis pelancaran itu turut disertai calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad; Calon BN DUN Kadok, Mohammad Azam Ismail serta calon BN DUN Melor, Azmi Ishak.

ANNUAR beramah mesra bersama sebahagian orang ramai ketika menghadiri Majlis Pelancaran Manifesto Parlimen Ketereh di Pasar Ketereh, malam tadi. – Foto Faris Zainuldin

Annuar yang juga penyandang Parlimen Ketereh, berkata memartabatkan syariat dan syiar Islam antara teras utama dengan mengemukakan tujuh tawaran antaranya mengembangkan Pusat Pembelajaran al-Quran, membantu pusat tahfiz, membangunkan Masjid Daerah Ketereh serta menaik taraf dan membina semula masjid.

Katanya, bagi menjadikan Ketereh sebagai koridor ilmu, Politeknik Kota Bharu di Kok Lanas akan dinaiktaraf kepada Universiti Teknikal, selain akan membina Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab, Giat MARA Prima dan Tadika Permata Negara.

“Ketereh ‘Youth City’ akan dirancang selain membina sebuah jambatan menyeberangi Sungai Kelantan menghubungkan Parlimen Ketereh dengan Parlimen Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tanah Merah dalam usaha memperhebatkan perbandaran.

“BN Ketereh juga akan mengutamakan kebajikan rakyat dengan menyediakan bantuan kepada mereka yang sakit kronik, memberi bantuan pentadbiran kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) antara RM2,000 hingga RM5,000 setahun, serta memberi bantuan awal peralatan persekolahan kepada 2,000 hingga 3,000 murid dalam Parlimen,” katanya.

Annuar berkata, aspek sukan juga tidak dilupakan BN Ketereh apabila pihaknya akan berusaha membina sebuah stadium bersama akademi bola sepak serta padang bola sepak sintetik selain akan membangunkan Pusat Sukan dan Kebudayaan.

“BN Ketereh akan membina 1,000 unit rumah menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan membaik pulih sehingga 3,000 unit rumah penduduk dalam Parlimen,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/politik/2018/05/422084/ketereh-koridor-ilmu

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.