Lahir Usahawan Pembinaan Berteras Teknologi Terkini

Azmaen (tiga dari kanan) bersama-sama Shabudin (dua dari kiri) menyampaikan kunci rumah yang dibina oleh bekas pelajar KKTM Sri Gading. 

Batu Pahat, 6 Mei  – Dua bekas pelajar KKTM Sri Gading, berjaya mengaplikasi teknologi pembinaan terkini apabila menyiapkan serumah rumah menggunakan interlock brick berkeluasan 1,000 kp dengan nilai keseluruhan RM120,000.

Rumah yang disiapkan oleh bekas pelajar Diploma Pembinaan Sistem Termaju KKTM Sri Gading, Khairul Azmar Kamarul dan Muhammad Amirul Islam Jamil, (kedua-dua berusia 22 tahun) mampu disiapkan dalam tempoh 75 hari sahaja dengan kualiti yang bermutu tinggi.

Menurut Pegawai MARA Daerah Batu Pahat, Azmaen Zain, kejayaan ini membuktikan sistem pembelajaran di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) amat bertepatan dengan kehendak semasa bahkan ilmu yang dipelajari mampu menjana pendapatan dan membuka banyak peluang pekerjaan kepada para pelajar.

Sementara itu, menurut Pengarah KKTM Sri Gading pula, Shabudin Said, MARA amat komited untuk melahirkan seramai usahawan muda dalam bidang pembinaan dan memastikan mereka menghasilkan kualiti kerja terbaik serta projek disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.


Mereka berkata demikian semasa hadir ke program Majlis Penyerahan Kunci Interlock Brick Builder Project di Kampung Separap di sini hari ini.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.