Usahawan bumiputera digalak pasar produk secara dalam talian

AZHAR ABDUL MANAF (dua dari kiri) diiringi Lukman Hakim Hasan (kiri) meninjau gerai pameran Perlis Fest@KL 2018 di Medan MARA, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AMIR KHALID

KUALA LUMPUR 2 Mei – Usahawan bumiputera perlu membudayakan kreativiti dan inovasi termasuk memasarkan produk yang dihasilkan secara dalam talian agar mencapai sasarannya.

Ketua Pengarah Majlis Ama­nah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, usahawan terutamanya di luar bandar kini perlu beralih ke arah pendigitalan bagi memasarkan produk perniagaan masing-masing.

Dalam masa sama katanya, mereka juga harus mempelajari teknik pembinaan ayat untuk kandungan pemasaran bagi me­lariskan produk.

“MARA amat menggalakkan usahawan menceburi bidang perniagaan dalam sistem maya dan tidak sekadar terhad kepada fizikal (kedai atau pameran). Mereka perlu terdedah kepada strategik baharu dan kami akan memberi bantuan agar golongan tersebut berjaya dalam bidang perniagaan,” katanya ketika ber­ucap sempena program Perlis Fest@KL 2018 di Medan MARA di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah MARA Perlis, Lukman Hakim Hasan.

Tambah Azhar, MARA turut menawarkan bantuan modal melalui beberapa skim pembia­yaan seperti Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (Spike), Skim Pembiayaan Mudah Jaya (Spim), Skim Pembiayaan Perniagaan Lepasan IPMa (Semai), Mobilepreneur Food Truck dan Pembiayaan Perniagaan Dananita bagi memastikan peningkatan jumlah usahawan bumiputera di negara ini.

“Kesemua ini diwujudkan untuk memberi bantuan yang lebih khusus dan akses lebih mudah kepada peniaga mengembangkan lagi perniagaan.

“Ini membuktikan bahawa MARA amat prihatin dan sentiasa berusaha untuk mencipta program baharu mengikut pereda­ran masa serta kehendak terkini masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, MARA memperuntukkan sebanyak RM3.45 juta bagi program Spim dan RM10 juta untuk program Spike.

“Usahawan di Perlis turut mendapat manfaat melalui khidmat sewaan premis MARA yang setakat ini terdapat 368 lot premis di sekitar negeri berkenaan.

“Setakat Mac ini pula, seba­nyak 16 kursus keusahawanan di­jalankan bagi memastikan kompetensi, pengetahuan dan keterlibatan usahawan serta ke­sinambungan aktiviti keusahawanan di Perlis dapat direalisasikan,” jelasnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/usahawan-bumiputera-digalak-pasar-produk-secara-dalam-talian-1.663848

This entry was posted in Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.