
JOHARI ABDUL GHANI beramah mesra dengan sebahagian pelajar dari sekolah sekitar Parlimen Titiwangsa selepas merasmikan program Tuisyen Rakyat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
KUALA LUMPUR 2 Mei – Sumbangan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam bidang pendidikan sehingga ke hari ini sebenarnya jauh lebih besar daripada apa disangkakan kebanyakan masyarakat di negara ini.
Calon BN bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peruntukan sebanyak RM60 bilion dalam sektor pendidikan bukan dibuat secara suka-suka tetapi membolehkan setiap pelajar menerima bantuan secukupnya bagi melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti.
Disebabkan itu, beliau mahu rakyat membuka mata dan menilai dengan lebih terperinci apa yang telah dilaksanakan oleh BN selama ini.
“Bajet sebanyak RM60 bilion untuk pendidikan diberikan bagi membina sekolah dan membayar gaji 570,000 kakitangan pendidikan dan pentadbiran jadi, setiap tahun kerajaan memperuntukkan sebanyak RM44 bilion untuk sekolah rendah serta menengah manakala selebihnya untuk institusi pengajian tinggi.
“Kalau jumlah itu dibahagikan dengan 5.6 juta pelajar yang ada di negara ini, setiap pelajar sebenarnya mendapat bantuan sehingga RM750 sebulan. Itu baru seorang, belum lagi empat adik-beradik. Kadang-kadang apa yang kita dapat kita tak nampak, tapi yang kita tak dapat kita nampak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian program Tuisyen Rakyat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Johari menegaskan, BN sentiasa berlaku adil kepada setiap lapisan masyarakat semata-mata untuk memberikan peluang pendidikan yang sama rata kepada rakyat.
“Banyak sekolah telah dibina dalam kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan kawasan tanah rancangan Felda, sekolah jenis kebangsaan Cina dan India pun kita buka, sampaikan guru lebih ramai daripada murid.
“Kalau tidak bina sekolah maka murid dan pelajar luar bandar akan tertinggal dalam bidang pendidikan, apabila tertinggal pendidikan, mereka tidak boleh keluar daripada kemiskinan, sebab itu kita utamakan pendidikan,” katanya.
Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/politik/pendidikan-keutamaan-bn-1.663970