MARA HARGAI JASA GURU – 508 GURU MARA NAIK PANGKAT MELALUI TIME BASED

Ketua Pengarah Majlis Ama­nah Rakyat (MARA), YBhg. Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf bersama pendidik-pendidik MARA yang hadir di Majlis Engaging Employees: Optimising Performance di Hotel Premiera, KL.

Oleh: Zuiraini Binti Sainal
media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 30 April – Seramai 500 orang guru dari pelbagai gred dihimpunkan dalam satu perjumpaan bersama dengan YBhg. Dato’ Azhar bin Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA bersempena dengan satu majlis anjuran Bahagian Sumber Manusia iaitu Engaging Employees: Optimising Performance di sini hari ini.

Perhimpunan tersebut juga sebagai penghargaan kepada para guru yang telah menabur bakti dalam mendidik anak bangsa khususnya dalam merealisasikan usaha MARA melahirkan modal insan yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan. Pada masa yang sama beliau turut berkongsi tentang 5 prinsip transformasi MARA, insentif dan kemudahan yang ditawarkan kepada warga kerja MARA melalui bajet 2018 serta laluan kerjaya bagi Skim Pendidikan Perkhidmatan Pendidikan.

Pegawai Perkhidmatan Pendidikan MARA merupakan guru bergred DG yang bertugas di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) seluruh Malaysia yang meliputi 54 buah Maktab Rendah Sains MARA, 6 buah Kolej Profesional MARA, 4 buah Kolej MARA, 14 buah Institut Kemahiran MARA dan 11 buah Kolej Kemahiran Tinggi MARA.

MARA melalui Bajet 2018 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Oktober lalu menerima bajet berjumlah RM2.2 billion bagi pemberian biasiswa dan latihan MARA. Justeru, insentif ini merupakan pemangkin dalam usaha melahirkan para pelajar yang cemerlang.

Salah satu dari 5 prinsip transformasi MARA yang disentuh oleh beliau ialah merekayasa organisasi & merakyatkan penyampaian. Justeru, beliau menyeru agar para guru turut terlibat dalam usaha mempromosikan agenda dan program-program yang telah dirangka oleh MARA kepada orang awam. Ini dizahirkan melalui pelbagai pendekatan program turun padang anjuran MARA umpamanya program 1MPAK, BLESS, Karnival Pendidikan MARA (KPM) dan banyak lagi program yang berbentuk outreach kepada golongan sasaran terutamanya golongan B40.

Bersempena dengan majlis itu juga turut diadakan majlis menandatangani Pekeliling Kenaikan Pangkat yang melibatkan kenaikan gred seramai 508 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan bermula dari gred D34 hinggalah ke gred DG54.

Kenaikan gred DG41 ke DG44 seramai 351 orang merupakan jumlah yang paling besar berbanding dengan lain-lain gred diikuti dengan gred DG44 ke DG48 kedua tertinggi iaitu seramai 92 orang. Lain-lain gred yang turut menikmati kenaikan melalui time based ialah gred DG48 ke DG52 seramai 13 orang dan DG52 ke DG54 seramai 46 orang.

Kekalkan kecemerlangan dalam perkhidmatan wahai para guru dan tahniah kepada yang menerima kenaikan pangkat.

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.