Kepentingan kuasai pasaran gelatin halal

WAKIL syarikat dari dalam dan luar negara bergambar kenangan bersama Awang Adek Hussin (tengah) selepas menandatangani MoU sempena penganjuran Simposium Ekosistem Gelatin Halal.

PERMINTAAN terhadap gelatin dalam kehidupan seharian pada masa ini sangat tinggi namun kadar pengeluaran gelatin halal yang patuh syariah termasuk di peringkat global adalah terlalu kecil.

Berdasarkan statistik, penghasilan gelatin halal di peringkat global sekitar 0.7 peratus pada 2013 manakala jumlah populasi umat Islam di seluruh dunia adalah 1.7 bilion.

Malah populasi masyarakat Islam di seluruh dunia terus mencatat peningkatan dengan anggaran peningkatan sebanyak 40 juta orang setiap tahun.

Pastinya jumlah tersebut tidak mampu menampung permintaan tinggi umat Islam terhadap gelatin halal yang banyak digunakan dalam pelbagai bidang.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Datuk Dr. Rosli Mohd. Yunus berkata, dianggarkan 90,000 tan gelatin halal diperlukan setiap tahun bagi menampung keperluan industri makanan dan minuman, nutraseutikal, farmaseutikal serta kosmetik yang menggunakan bahan tersebut.

Katanya, sebagai umat Islam, menjadi satu tanggungjawab yang perlu digalas untuk memenuhi permintaan ummah terhadap gelatin halal dan perkara tersebut boleh dikategorikan sebagai fardu kifayah.

“Selain itu, pendorong kepada umat Islam terutama di negara ini untuk menghasilkan gelatin halal adalah berdasarkan kepada kepercayaan lebih tinggi dan penerimaan orang ramai terhadap produk yang dihasilkan oleh umat Islam itu sendiri.

“Dalam masa yang sama, sebagai hab halal, Malaysia seharusnya menjadi negara pengeksport utama melibatkan produk halal dan memenuhi permintaan tinggi orang ramai dan pasaran terhadap gelatin halal yang banyak digunakan dalam pelbagai bidang perniagaan,” katanya ketika berucap sempena penganjuran Simposium Ekosistem Gelatin Halal, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Dalam penganjuran simposium tersebut, UMP turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Amin Bio Group dari Shanghai, China yang berpengalaman luas bagi pembangunan ekosistem halal di China.

Antara yang hadir dalam majlis menandatangani MoU itu ialah Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Ketua Pegawai Pengarah Amin Bio Group, Dawood Su Han.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, faktor utama menghalang penghasilan gelatin halal di negara Islam adalah kerana kekurangan bahan utama bagi membuat gelatin iaitu tulang atau kulit binatang ternakan termasuk lembu.

Namun begitu menurutnya, kebanyakan negara luar yang menghasilkan gelatin adalah menggunakan binatang yang diharamkan dalam Islam iaitu babi.

Jelasnya, kebanyakannya gelatin yang dihasilkan di luar negara berasal daripada haiwan iaitu sebanyak 43 peratus daripada kulit babi, kulit lembu (23 peratus), tulang babi dan lembu (18 peratus) dan sebanyak 16 peratus lain-lain sumber.

Menurutnya, penghasilan gelatin dunia adalah sekitar 450,700 tan setahun dan Eropah Barat menguasai pasaran menerusi penghasilan gelatin di peringkat dunia sebanyak 39 peratus, diikuti Eropah Timur (22 peratus), Amerika Utara (20 peratus), Amerika Latin (17 peratus) dan lain-lain negara sebanyak dua peratus.

Tambah beliau, pasaran global gelatin dianggarkan bakal mencatat peningkatan sebanyak 6.5 peratus setiap tahun sehingga tahun ini.

Katanya, kapasiti pengeluaran dunia bagi produk gelatin pada 2011 adalah sebanyak 348,900 tan, manakala jumlah bagi tahun ini dijangka sekitar 450,700 tan.

Sehubungan itu katanya, usahawan Muslim di negara ini harus menerima cabaran menjadikan Malaysia sebagai negara Islam menghasilkan gelatin halal, sekali gus mengukuhkan Malaysia sebagai hub halal di rantau ini.

Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/kepentingan-kuasai-pasaran-gelatin-halal-1.663293

This entry was posted in Korporat, Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.