Usahawan Perlis diseru rebut peluang promosi produk di PerlisFest@KL 2018 – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail melakukan gimik pelancaran PerlisFest@KL yang akan diadakan di Kuala Lumpur nanti, di sebuah hotel di Kangar, Perlis, hari ini. Turut kelihatan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. – UTUSAN ONLINE

KANGAR 30 April – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, menasihatkan para usahawan dari negeri ini supaya merebut peluang untuk mempromosikan produk mereka secara lebih meluas kepada masyarakat luar Perlis sempena PerlisFest@KL 2018 yang akan diadakan di bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Kuala Lumpur, pada 2 hingga 4 Mei ini.

Baginda bertitah, lokasi program yang terletak di tengah-tengah pusat bandar dan ekonomi itu terdapat pelbagai industri, usahawan dan agensi kerajaan daripada pelbagai sektor.

“Oleh itu, usahawan-usahawan Perlis yang turut serta seharusnya mengambil peluang dan inisiatif mencari dan membina jaringan perniagaan bersama individu-individu atau usahawan-usahawan seperti para peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India.

“Usahawan-usahawan Perlis juga perlu mengambil inisiatif penganjuran program ini dengan menyahut seruan kerajaan untuk berani memasarkan produk mereka ke peringkat yang lebih luas iaitu dengan menembusi pasar raya-pasar raya besar dan pasaran global,” titah baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat melancarkan program tersebut yang memasuki tahun ketiga penganjurannya, di sebuah hotel di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah MARA negeri, Lukman Hakim Hasan.

Sebagai rekod, pada 2015 dan 2016, program tersebut dikenali dengan ‘Harumanis@KL’.

Pada kali ini ia turut mendapat kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri untuk memperoleh mempelam tempatan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Perlis untuk persembahan kebudayaan tradisional Perlis.

Selain mempromosi makanan tradisi negeri seperti beraneka pulut, laksa dan pelbagai jenis serta produk mempelam tempatan, program itu turut mempromosikan produk-produk pelancongan di Perlis.

Juga dipasarkan produk-produk makanan dan minuman (F&B) keluaran usahawan Perlis yang berpotensi diketengahkan. – UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/usahawan-perlis-diseru-rebut-peluang-promosi-produk-di-perlisfest-kl-2018-raja-muda-perlis-1.661682

This entry was posted in Lain-Lain, Usahawan. Bookmark the permalink.