Rezeki musim pilihan raya

Faizal di samping isterinya, AsnaIzzah Mohd Saidi, 29, di hadapan kedainya dekat Kampung Limbongan dekat Pengkalan Nyireh.

KAMPUNG RAJA – Pendapatan sebuah kedai pengiklanan membuat poster dan kain rentang dekat Pengkalan Nyireh di sini dijangka akan melonjat sempena musim pilihan raya ini.

Anak muda keluaran GiatMARA Besut, Mohd Faizal Mania, 40, yang mengusahakan perniagaan tersebut sejak sepuluh tahun lalu berusaha memberi perkhidmatan cepat kepada pelanggannya pada musim ini.

Lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang jahitan kusyen di GiatMARA Besut ini tidak menyesal menukar bidang kerjaya kerana walaupun berlainan bidang tetapi asas latihan kemahiran dan pengurusan yang diterapkan GiatMARA mampu menjadikan dia peniaga cekal.

“Saya bermula dari kosong apabila menjalankan perniagaan membuat papan poster berpusat di Bengkel D’ MARA dekat Beris Pak Abu.

“Apabila MARA memberikan pelbagai kemudahan termasuk bantuan dan kursus kepada saya, akhirnya perniagaan saya dikembangkan kepada percetakan kain rentang dan perniagaan berkaitan.

“Syukur sekarang kedai saya beroperasi dengan menggunakan mesin cetak sendiri bernilai kira-kira RM200,000,” katanya ketika ditemui di kedainya yang dikenali Faizal Advertising.

Faizal sentiasa memastikan pekerjanya menghasil terbaik terbaik untuk kepuasan hati pelanggan.

Allahyarham bapa Faizal, Ramia Ramli atau dulu lebih dikenali sebagai Adik Awang dikenali merupakan orang kelainan upaya (OKU) yang berdikari menggunakan kemahirannya membaiki perkakas eletrik seperti tv dan radio di pasar Jertih satu ketika dulu.

Ketika hayatnya, Adik Awang sering dilihat menunggang motosikal roda tiga sambil membawa isteri dan anak-anak menaiki bersama motosikal tersebut berulang dari Jertih ke Kampung Raja.

Faizal yang kini mempunyai enam pekerja turut menjadikan kekurangan bapanya sebagai sumber inspirasi dan dia bercita-cita untuk menjadi pengusaha syarikat pengiklan yang canggih setanding dengan syarikat gergaji lain.

“Selain keluarga, sokongan yang diberikan GiatMARA, Institut Kemahiran MARA dan MARA Besut serta Terengganu memang sangat saya hargai,” katanya yang sedia menerima tempahan daripada orang ramai.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/rezeki-musim-pilihan-raya-1.827100

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.