MRSM ke-57 dan GiatMARA Prima dibina di Bera

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat model pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Majlis Pecah Tanah MRSM ATM dan GiatMARA Prima Bera di Bandar 34, Bera, Pahang hari ini. -UTUSAN ONLINE/ AHMAD ZAKKI JILAN

BERA 29 April – Sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebuah GiatMARA Prisma akan dibina di daerah ini dalam usaha menjadikannya sebagai hab pendidikan di negeri ini.

Majlis pecah tanah MRSM ATM hari ini disempurnakan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Triang 1 di sini.

Ismail Sabri berkata, MRSM ke-57 bernilai RM120 juta itu yang akan mula dibina pada Julai ini dijadual siap pada 2020.

“Di Bera ini istimewa kerana diberi nama MRSM ATM memandangkan ia terletak berhampiran kem tentera dan akan menjadi MRSM Ulul Albab ketujuh di negara ini.

“Sebagai MRSM ATM, kita bersetuju 30 peratus pengambilan pelajar adalah daripada anak-anak tentera, 40 peratus daripada anak Pahang dan selebihnya kepada pelajar di seluruh Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pecah tanah tersebut.

Yang hadir sama, Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan, Datuk Mohd. Fadil Osman; Calon DUN Guai, Datuk Norol Azali Sulaiman dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat GiatMARA Prima yang akan dibina berhampiran MRSM ATM tersebut dalam proses pengeluaran tender.

Katanya, pada masa ini kerajaan telah meluluskan bajet dan tanah bagi pembinaan yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat. -UTUSAN ONLINE

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/mrsm-ke-57-dan-giatMARA-prima-dibina-di-bera-1.661099

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.