MRSM ATM Bera siap dibina 2020

Ismail Sabri merasmikan Majlis Pecah Tanah MRSM Ulul Albab dan GiatMARA Prima Bera, di Bandar 34, hari ini.

KERAJAAN melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menyediakan ekosistem pendidikan terbaik dan berkualiti apabila sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan GiatMARA Prima Bera bakal dibina yang akan menjadi hab pendidikan di daerah ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembinaan institusi pendidikan ini akan menjadi pemangkin pembangunan dan lonjakan sosio-ekonomi selain mampu menampung jumlah pelajar yang cemerlang sebagai persediaan dalam bidang sains, profesional dan kritikal.

Menurutnya, MRSM ATM Bera ini yang berkonsepkan pendidikan Ulul Albab adalah yang pertama di Pahang dan akan memulakan pembinaannya pada Julai depan.

“Pembinaan MRSM bernilai RM120 juta dengan keluasan tapak 20 hektar dijangka siap pada tahun 2020 dan akan beroperasi sebagai MRSM keenam dalam negeri Pahang seperti dijadualkan.

“Pembinaan MRSM ATM Bera ini juga sebagai menghargai jasa dan pengorbanan angkatan tentera yang selama ini mempertahankan keselamatan dan keamanan negara, juga akan memberikan kuota 30 peratus pengambilan pelajar dari kalangan anak anggota dan veteran tentera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah MRSM Ulul Albab dan GiatMARA Prima Bera, di Bandar 34, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Ketua Pengarah Kor Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr Yaa’kop Koming serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan tugas-tugas Khas negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dan calon Dun Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman.

Ismail Sabri berkata, MRSM itu akan dapat menempatkan seramai 750 orang pelajar dengan seramai 104 orang guru serta 29 orang kakitangan.

“Sebanyak 40 peratus pengambilan bagi kemasukan MRSM ini juga daripada anak-anak Pahang manakala selebihnya kepada pelajar-pelajar di seluruh negara.

“Semestinya, pembinaan MRSM ini akan memberikan impak yang besar kepada pembangunan sosio-ekonomi kepada penduduk di kawasan sekitar termasuk daerah Bera,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/mrsm-atm-bera-siap-dibina-2020-1.828075

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.