
ISMAIL SABRI YAAKOB menyaksikan penyerahan replika cek daripada Ketua Pegawai Operasi Felcra Berhad, Zainal Abidin Shariff (kiri) kepada Azhar Abdul Manaf (kanan) dalam Majlis Pecah Tanah Maktab Rendah Sains MARA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan GiatMARA Prima di Bera, semalam. utusan/AHMAD ZAKKI JILAN
BERA 29 April – Komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memperkasakan pendidikan dalam kalangan kaum Melayu dan bumiputera berterusan dengan pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bera di sini, hari ini.
Malah MRSM terletak berhampiran Kem Tentera Bera yang akan memberikan kuota 30 peratus kepada anak-anak warga tentera menunjukkan penghargaan kerajaan terhadap jasa dan pengorbanan anggota tentera dalam menjaga keamanan negara.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MRSM bernilai RM120 juta dibina di tanah seluas 20 hektar itu merupakan MRSM ke-57 di negara ini yang dibina bagi memberikan kemudahan pendidikan terbaik kepada rakyat.
“MRSM ATM Bera ini nanti akan menawarkan program Ulul Albab berdasarkan kepada permintaan yang tinggi saban tahun terhadap program ini dan ia menjadi MRSM pertama di Pahang yang melaksanakan program Ulul Albab.
“Jadi kita percaya akan dapat melahirkan generasi berkebolehan menghafal al-Quran dan melahirkan profesional, teknokrat dan usahawan yang berlatar belakang sains dan tahfiz al-Quran,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah tanah MRSM ATM Bera dan GiatMARA Prima di Felda Triang 1 di sini, hari ini.
Yang hadir sama, calon Barisan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan, Datuk Mohd. Fadil Osman; calon DUN Guai, Datuk Norol Azali Sulaiman; Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Ketua Pengarah Kor Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Ya’kop Koming.
Menurut Ismail Sabri, MRSM itu yang akan mula dibina pada Julai ini dijadualkan siap sepenuhnya pada Julai 2020
Katanya, MRSM berkenaan akan menempatkan seramai 750 orang pelajar dengan guru seramai 104 orang dan kakitangan seramai 29 orang.
“Sebagai MRSM ATM kita bersetuju mengambil 30 peratus pelajar dalam kalangan anak-anak warga tentera dan 40 peratus daripada anak-anak Pahang manakala selebihnya pelajar-pelajar dari seluruh negara,” katanya.
Ismail Sabri berkata, pembinaan MRSM ini akan memberikan impak kepada pembangunan sosioekonomi penduduk tempatan khususnya masyarakat di DUN Kemayan.
Katanya, ia juga akan merealisasikan pembukaan bandar baharu 34 di kawasan ini yang akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi penduduk setempat.
“Selepas MRSM ini dibuka saya percaya penduduk di sini dan seluruh Bera akan mendapat limpahan pembangunan dan peluang ekonomi selain peluang pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Pusat GiatMARA Prima yang menawarkan lima kursus akan dibina dalam waktu terdekat selepas proses tender selesai.
Kerajaan katanya, telah meluluskan bajet dan tanah bagi pembinaan projek berkenaan yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/memperkasa-pendidikan-bumiputera-1.661527