Kuota 30 peratus untuk anak anggota, veteran tentera

ISMAIL Sabri diiringi Azhar (kiri), Mohd Fadil (kanan); Borhan dan Ya’kop melihat model pembinaan MRSM ATM Bera selepas majlis pecah tanah di Bandar 34, Bera, semalam. FOTO BERNAMA

Bera: Peruntukan kuota 30 peratus akan diberikan kepada anak dan veteran tentera apabila Maktab Rendah Sains MARA Angkatan Tentera (MRSM ATM) Bera di Bandar 34, di sini, siap sepenuhnya pada Julai 2020.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kuota 40 peratus lagi akan diberikan kepada anak jati Pahang manakala selebihnya dibuka untuk pelajar lain.

“MSRM ATM ini cukup istimewa apabila pemilihan namanya diambil bersempena kedudukannya yang berjiran dengan kem tentera di Bandar 34 dan ia adalah MRSM ATM kedua selepas di Terendak, Melaka.

Fahami tuntutan al-Quran

“Selain itu, MRSM ATM Bera juga yang ketujuh menjalankan sistem pendidikan Ulul Albab bagi melahirkan pelajar yang cemerlang akademik dan berkebolehan menghafal serta memahami tuntutan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah MRSM ATM Bera dan GiatMARA Prima Bera di Bandar 34 di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dollah; Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk (Dr) Ya ’akob Koming, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf dan Calon DUN Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman.

Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, MRSM ATM itu menelan kos RM120 juta dan dibina di tanah seluas 20 hektar milik MARA dan ia adalah MRSM keenam di Pahang, selepas Kuantan, Pekan, Muadzam Shah, Bentong dan Kuala Lipis.

“Kewujudan MRSM ATM dan pembangunan lain termasuk kem tentera serta projek pembangunan bercampur yang diluluskan kerajan negeri di Bandar 34 akan memacu pembangunan bandar baharu di sini.

Hab pendidikan

“Sudah tentu akan memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat dalam sektor seperti makanan, dobi dan penginapan kerana MRSM ATM ini sahaja akan mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 penghuni dalam satu-satu masa meliputi pelajar, guru dan kumpulan pelaksana,” katanya.

Ismail Sabri yang juga calon BN Parlimen Bera bagi penggal keempat berkata, kewujudan MRSM ATM itu juga selari dengan hasratnya menjadikan daerah ini sebagai hab pendidikan.

Katanya, beliau juga sedang mengusahakan supaya sebuah kolej vokasional dan kolej komuniti boleh dibangunkan di Bandar 34.

Sementara itu, mengulas mengenai GiatMARA Prima Bera, Ismail Sabri berkata, pembinaannya bertujuan menaiktaraf GiatMARA Bera yang beroperasi sejak 15 November 2002 kerana sambutan yang diterima adalah sangat menggalakkan.

“GiatMARA Prima ini akan menawarkan lima kursus berbanding dua pada masa kini iaitu Kursus Teknologi Automotif dan Fashion and Dressmaking.

“Tiga kursus yang dicadangkan ialah kursus Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara, Teknologi Baikpulih dan Mengecat Kenderaan dan Pembuatan Roti dan Kuih yang mendapat permintaan meluas,” katanya.

Peluang lebih luas anak Pahang ke MRSM

Pembinaan Maktab Rendah Sains MARA Angkatan Tentera Malaysia (MRSM ATM) Bera di Bandar 34, di sini, menerima pelbagai reaksi positif daripada pemimpin serta penduduk setempat berikutan manfaat yang bakal diterima.

Pengerusi Majlis Belia Malaysia Wilayah Mempaga, Azril Raamli, berkata peruntukan pengambilan sebanyak 40 peratus untuk pelajar di negeri ini khususnya dari Bera membuka peluang kepada mereka untuk mendapat pendidikan terbaik.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat melahirkan pelajar berdaya saing yang tinggi sekali gus merapatkan jurang pendidikan dengan pelajar di kawasan bandar.

“Jika sebelum ini pelajar di Bera tidak mempunyai peluang melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh berikutan persaingan dengan pelajar di bandar, namun dengan peruntukan kuota berkenaan, mereka pastinya mampu untuk menjejakkan kaki ke MRSM.

“Dalam jangka panjang, ia membantu kerajaan negeri melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang serta kompetitif,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Suri rumah, Jalilah Md Lela, 40, berkata pembinaan MRSM itu mencerahkan lagi peluang anaknya terpilih berikutan peruntukan kuota berkenaan.

Proses pembelajaran lebih baik

Beliau yang mempunyai empat anak berusia lima hingga 17 tahun berkata, sebelum ini sememangnya berhasrat menghantar anaknya melanjutkan pelajaran ke MRSM berikutan proses pembelajaran lebih baik.

“Mungkin selepas ini peluang anak saya untuk masuk ke MRSM lebih cerah, peruntukan kuota itu membolehkan anakanak di Bera ini untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik.

“Sudah pastinya dalam masa akan datang pelajar yang tinggal di kawasan luar bandar tidak lagi merasa rendah diri apabila mereka juga mampu bersaing dengan pelajar yang tinggal di bandar,” katanya.

Sementara itu, penduduk dari Kampung Seri Hamzah, Kerayong, Latif Saidin, 46, berkata, pembinaan MRSM ATM Bera itu juga akan merancakkan lagi pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/04/335210/kuota-30-peratus-untuk-anak-anggota-veteran-tentera

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.