KKLW lancar pembinaan MRSM ke-57 di Bera

Datuk Seri Ismail Sabri menghadiri Majlis Pecah Tanah MRSM-ATM dan GiatMARA Prima hari ini

BERA – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah melancarkan pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang ke-57 di Felda Triang 1 di sini hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, pembinaan MRSM ini juga merupakan yang keenam di Pahang dan akan menjadi MRSM Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kedua di Malaysia.

“Pembinaan MRSM ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada golongan ATM dan juga tanda aras buat daerah ini untuk menjadi hub pendidikan di negeri Pahang.

“Istimewanya MRSM ATM ini ia juga akan menjadi institut pendidikan MARA yang ketujuh melaksanakan sistem pendidikan ulul albab yang bakal memulakan pembinaan pada Julai ini dan dijangka siap pada Julai 2020,” katanya pada sidang media Majlis Pecah Tanah MRSM-ATM dan GiatMARA Prima di sini hari ini.

Turut hadir, calon BN Parlimen Bera ditemani calon BN DUN Guai Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, calon BN DUN Mentakab, Datuk Mohd Fadil Osman dan Ketua Pengarah MARA Datuk Azhar Abd Manaf.

Tambahnya kerajaan telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM120 juta bagi pembinaan MRSM-ATM berkenaan yang bakal di bina di atas tanah berkeluasan 20 hektar.

Pembinaan MRSM-ATM itu juga mampu memuatkan penghuni dengan kapasiti seramai 750 orang pelajar, 104 orang guru dan 29 orang kumpulan pelaksana. – K! ONLINE

Sumber: http://www.kosmo.com.my/negara/kklw-lancar-pembinaan-mrsm-ke-57-di-bera-1.661123

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.