Tawaran Menarik Di Pembukaan MARA Digital Larkin

MARA Digital di Plaza Larkin, Johor Bahru akan dibuka pada Ahad ini.

Johor Bahru, 26 April – Pelbagai tawaran menarik menanti pengunjung sempena pembukaan MARA Digital Larkin pada Ahad ini bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Menurut Pengarah MARA Negeri Johor, Nor Hashimi Mahat, terdapat pelbagai barangan IT berjenama boleh didapati di MARA Digital seperti telefon pintar, komputer riba, printer dan juga aksesori IT.

“Sempena pembukaan pada Ahad ini, kita akan memberi tempered glass secara percuma untuk semua jenis telefon kepada para pengunjung dan pada masa yang sama menawarkan diskaun harga untuk telefon, komputer dan printer dari jenama terpilih,” katanya.

MARA Digital Larkin merupakan lokasi keenam pusat IT ini selepas Kuala Lumpur, Shah Alam, Ipoh, Kuantan dan Melaka dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam perniagaan runcit industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Sebanyak 17 ruang perniagaan terdapat di MARA Digital Larkin ini dan menariknya, pusat sehenti IT ini turut melibatkan syarikat gergasi, pemain industri serta jenama produk IT yang terkenal,” katanya lagi.

Hashimi menambah, pelbagai pengisian lain turut diadakan sempena pembukaan MARA Digital Larkin ini iaitu wacana ilmu “Peranan Media Sosial Dalam Perspektif Islam”, cabutan bertuah serta pertandingan mewarna berkonsepkan IT.

“Justeru kepada orang ramai, jangan lupa untuk hadir bagi memeriahkan lagi pembukaan MARA Digital di Plaza Larkin pada Ahad ini,” ujarnya lagi.

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.