Gemencheh lembah ilmu pendidikan Islam

Mohd Isam Mohd Isa

GEMENCHEH – Kewujudan lokasi pembelajaran Maahad Ahmadi Negeri Sembilan (MANS) di Asahan sejak awal 80-an selepas beberapa kali berubah lokasinya di sekitar negeri ini, memberi rahmat kepada bumi Gemencheh.

Bayangkan, sebagai sebuah sekolah agama tertua di Negeri Sembilan yang ditubuhkan di Kuala Pilah dengan nama Sekolah Ugama Menengah Tinggi kira-kira setahun sebelum negara ini merdeka, Gemencheh telah menjadi tumpuan institusi pengajian Islam bertapak.

Menurut penyandang Dun Gemencheh, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, hasrat kerajaan negeri bagi menjadikan Gemencheh sebagai lembah ilmu pendidikan Islam disambut baik masyarakat setempat.

“Di sini juga terdapat Institut Tahfiz al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN) dan juga Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gemencheh, yang merupakan antara MRSM Ulul Albab di negara ini.

“Kini kita (kerajaan) dalam perancangan bina sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) aliran agama,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menggalakkan konsep satu sekolah satu sukan.

“Di Gemencheh, ketiga-tiga sekolah menengah di sini mempunyai fokus dalam sukan masing-masing.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Taha fokus dalam sukan hoki. SMK Bukit Rokan fokus dalam sukan kriket melalui Kelab Kriket Gemencheh sehingga muncul sebagai juara Kejohanan Kriket T20 Antara Kelab Kebangsaan tahun lalu,” ujarnya.

Katanya, bagi SMK Bukit Jalor pula fokus dalam acara memanah dan 14 sekolah kebangsaan di Dun berkenaan juga mempunyai fokus dalam bidang sukan tertentu.

“Kita di Dun Gemencheh gembira dengan kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bulan lalu apabila beliau mengumumkan peruntukan naik taraf Kompleks Sukan Gemencheh bernilai RM5 juta,” katanya.

Sementara itu katanya, Dun Gemencheh juga menerima banyak limpahan pembangunan, antaranya pembinaan lima dewan orang ramai dalam tempoh sepenggal PRU, serta sebuah lagi kemudahan iaitu Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh telah dibina, dan hanya menunggu masa diserah kepada agensi berkaitan.

“Selain itu, jalan perhubungan kampung dan juga projek tebatan banjir telah banyak dilakukan di sini.

“Terbaru, peruntukan melalui JKR telah diluluskan membabitkan projek baik taraf sistem saliran di pekan Gemencheh bagi mengelak banjir kilat,” katanya.

Mohd Isam juga menyatakan projek pembinaan rumah buat generasi kedua di Felda Bukit Jalor dan Felda Bukit Rokan Utara juga sedang giat dilaksanakan.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/gemencheh-lembah-ilmu-pendidikan-islam-1.826695

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.