Penerima Dana Raya bertambah kerana syarat dilonggarkan -Ahmad Razif

AHMAD RAZIF beramah mesra bersama pembeli di tapak jualan sentuhan rakyat semasa program walkabout Jualan Sentuhan Rakyat di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus hari ini. – UTUSAN ONLINE

KUALA TERENGGANU 19 April – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyifatkan dakwaan pemimpin pembangkang yang mencanangkan kononnya semakin ramai rakyat di negeri ini berada dalam kelompok miskin sebagai tidak berasas.

Katanya, pembangkang terlalu mudah membuat tohmahan hanya berdasarkan peningkatan penerima Dana Raya sejak 2015 tanpa menyedari bahawa kerajaan negeri sememangnya mengambil langkah meramaikan jumlah penerima bagi memeriahkan suasana sambutan perayaan dalam setiap keluarga.

“Jika berpandukan kepada angka sememangnya dilihat semakin meningkat kerana syarat kalangan yang layak awalnya berpendapatan RM2,500 pada 2015 dinaikkan kepada RM3,000 pada 2016 dan 2017.

“Apabila syarat kelayakan penerima dana dilonggarkan semakin ramailah yang boleh memohon, faktor itu sebenarnya dilihat meningkat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Program Walkabout Jualan Sentuhan Rakyat di Tok Jembal dekat sini hari ini.

Yang turut hadir sama, isteri beliau, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Datuk Zahida Zarik Khan dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Tengku Azelam Tengku Abdullah.

Di samping itu Ahmad Razif memberitahu, kerajaan turut memperkenalkan bantuan sedemikian setiap anggota pasukan keselamatan di negeri ini tanpa mengira pangkat.

“Takkan Ketua Polis Terengganu pun tergolong dalam kelompok orang miskin. Bantuan yang kita berikan itu bukan lagi tertakluk kepada golongan miskin semata-mata tetapi atas faktor-faktor lain seperti menghargai perkhidmatan dan sumbangan besar yang diberikan kepada rakyat negeri ini.

Sementara itu, beliau turut merasmikan Pusat Tuisyen Khas Rakyat di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus yang dikendalikan secara percuma anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Beliau berkata, pelaksanaan Tuisyen Rakyat@KKLW itu selari dengan prinsip ke-8 dalam Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dan pihaknya mengalu-alukan kerjasama mana-mana agensi untuk melaksanakan inisiatif sama dalam memperkasakan lagi pendidikan negeri. – UTUSAN ONLINE

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/terengganu/penerima-dana-raya-bertambah-kerana-syarat-dilonggarkan-ahmad-razif-1.653569

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.