
ISMAIL SABRI YAAKOB, Zulkarnain Md. Eusope (enam dari kanan) bersama penerima dividen dalam Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih 2017 peserta-peserta FELCRA Berhad di Dewan Rakan Muda Bera, Pahang, semalam. UTUSAN/MAHATHIR ALI
BERA 20 April – Meskipun melalui pelbagai cabaran termasuklah cubaan negara luar memboikot industri minyak sawit negara dan kejatuhan harga komoditi itu, FELCRA Berhad (FELCRA) masih mampu memberikan sumbangan signifikan kepada masyarakat luar bandar melalui pemberian dividen tahunan.
Malah dalam pengagihan dividen tahunan yang diumumkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tahun ini menyaksikan FELCRA memperuntukkan sebanyak RM306.94 juta bagi mengagihkan dividen kepada 67,881 ahlinya di seluruh negara.
Ismail Sabri berkata, jumlah dividen yang diagihkan kali ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan agihan sebanyak RM249.5 juta.
Katanya, peningkatan produktiviti dan harga komoditi utama itu telah menyumbang kepada peningkatan keuntungan sehektar sebanyak 29 peratus kepada RM3,064 sehektar setahun berbanding RM2,376 sehektar setahun pada 2016.
“Peningkatan ini adalah disebabkan amalan pengurusan baik yang mana produktiviti ladang meningkat 16 peratus kepada 17 tan metrik sehektar berbanding 15 tan metrik sehektar pada 2016.
“Ini disokong pula dengan peningkatan empat peratus purata harga sawit kepada RM548 setan metrik berbanding RM529 setan metrik pada 2016,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih 2017 peserta-peserta FELCRA Berhad di Dewan Rakan Muda Bera di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd. Fadil Osman; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Azizan Mohamad Sidin dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Zulkarnain Md. Eusope.
Menurut Ismail Sabri, dividen dengan purata RM3,000 setiap orang itu akan dibayar tiga kali setahun iaitu semasa musim perayaan Aidilfitri, musim baharu persekolahan dan bayaran akhir bermula hari ini melalui akaun bank peserta.
Dalam pada itu, beliau berkata, Felcra akan menjalinkan kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu anak-anak peserta FELCRA belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara.
Katanya, melalui bantuan pendidikan yang dikenali dengan nama program Budi MARA itu, FELCRA akan memperuntukkan sebanyak RM1.25 juta dalam tempoh lima tahun atau RM250,000 setahun.
“Setiap pelajar dianggarkan memerlukan pembiayaan sebanyak RM1,500 setahun untuk yuran tuisyen dan keperluan pembelajaran yang lain. Pihak MARA juga akan memudahcarakan pengambilan pelajar-pelajar dalam kalangan anak warga Felcra dengan pendekatan pasti dapat tempat untuk menyambung pengajian di MRSM,” katanya.
Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/dividen-felcra-naik-1.654565