Servis percuma untuk 1,000 penunggang motosikal

Ahmad Jazlan (duduk) turut serta membantu menukar minyak pelincir secara percuma pada Program Karnival Usahawan Desa (KUD) Machang 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah, hari ini. UTUSAN ONLINE/ROSMIZAN RESDI

MACHANG 21 April – Kira-kira 1,000 penunggang motosikal menikmati perkhidmatan tukar minyak pelincir secara percuma pada Program Karnival Usahawan Desa (KUD) Machang 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah, di sini hari ini.

Program yang dinamakan cabaran servis 1,000 motosikal itu adalah kerjasama dengan GiatMARA yang bertujuan membantu meringankan beban khususnya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

Penolong Pengarah GiatMARA negeri, Ahmad Rashidi Shamsuddin berkata, program selama dua hari bermula semalam itu melibatkan 100 pelatih jurusan Teknologi Motosikal GiatMARA dari Machang, Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Rantau Panjang.

“Program ini bukan yang pertama, malah telah diadakan secara berterusan setiap tahun yang melibatkan lokasi berbeza di negeri ini.

“Ini adalah salah satu usaha kita mengeratkan hubungan pelatih dan masyarakat seterusnya memperkenalkan pusat pengajian kemahiran itu kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui pada Program KUD Machang 2018, di sini hari ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ahmad Rashidi berkata, untuk program ini, pihaknya menawarkan servis yang berkualiti serta minyak yang berjenama kepada orang ramai.

“Menerusi program ini, orang ramai dapat menjimatkan perbelanjaan untuk menukar minyak pelincir yang dianggarkan berharga RM30 bagi sebuah motosikal.

“Program ini bukan sahaja memanfaatkan masyarakat tetapi memberi pendedahan kepada pelatih tentang situasi kerja yang sebenar dan berdepan pelanggan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/servis-percuma-untuk-1-000-penunggang-motosikal-1.655027

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan, Usahawan. Bookmark the permalink.