Sedia kemudahan makmal kelas dunia

PUSAT latihan teknikal UnIKL MICET dilengkapi dengan perisian terkini iaitu Plant Design Management System (PMDS) dan Reka Bentuk 3D.

SEBAGAI institusi berasaskan kejuruteraan kimia pertama dan terbesar di Malaysia, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) memainkan pe­ranan penting dalam melahirkan tenaga mahir bidang kejurute­raan kimia dan bio di negara ini.

DR. RUZAINAH ALI@JAAFAR

SEBAGAI institusi berasaskan kejuruteraan kimia pertama dan terbesar di Malaysia, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) memainkan pe­ranan penting dalam melahirkan tenaga mahir bidang kejurute­raan kimia dan bio di negara ini.

Apatah lagi di Malaysia, rata-rata industri dalam bidang itu lebih memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran dalam mengendalikan mesin atau peralatan kejuruteraan kimia, berbanding mereka yang menjurus kepada reka bentuk melalui teori.

Menurut Dekan UniKL MICET, Prof. Madya Dr. Ruzainah Ali@Jaafar, setakat ini kebolehpasaran graduan UniKL MICET amat memuaskan dengan 87 peratus gra­duan mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Ramai pelajar tidak mahu mengikuti pengajian kejurute­raan kimia dan bio kerana khuatir tidak mendapat pekerjaan memandangkan sektor minyak dan gas telah mengurangkan pengambilan pekerja.

“Cuma, pelajar tidak sedar bahawa kejuruteraan kimia dan bio masih lagi menjadi antara bidang yang tinggi permintaan daripada industri kerana skopnya begitu luas tidak menjurus pada satu-satu sektor sahaja,” katanya.

Kini, setelah hampir 16 tahun mewarnai dunia pendidikan negara, UniKL MICET telah melahirkan 4,000 graduan dalam bidang teknologi kejuruteraan kimia dan bio dalam pelbagai sektor industri.

Ruzainah berkata, kerjaya gra­duan dalam bidang itu di Malaysia adalah cerah. Antara industri yang menawarkan peluang pekerjaan adalah sektor pembuatan, bioteknologi, farmaseutikal, petrokimia, kimia industri, konsultasi, penyelidikan selain mi­nyak dan gas.

Katanya, setiap pelajar UniKL MICET juga mempunyai pe­ngetahuan asas dalam kejuruteraan kimia dan bio selain bidang pengkhususan masing-masing sama ada polimer, proses, makanan, bioproses mahupun alam sekitar.

Dalam pada itu katanya, gra­duan UniKL MICET lebih diminati pihak majikan kerana mereka juga diketengahkan dengan penggunaan mesin atau peralatan sebenar seperti yang terdapat di industri. Oleh itu, mereka tidak menghadapi masalah untuk me­ngendalikan peralatan tersebut apabila ditawarkan pekerjaan.

“Peralatan yang disediakan di UniKL MICET adalah berskala industri, bertepatan dengan pendekatan pengajian di institusi ini yang lebih menekankan praktikal berbanding amali.

“Pelajar tidak kira untuk program diploma atau ijazah akan didedahkan dengan kemahiran mengendali peralatan kejurute­raan kimia dan setiap pelajar akan berpeluang menggunakan peralatan tersebut untuk menjalankan analisis dan ujikaji berkaitan tugasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, dalam menyediakan graduan yang diperlukan industri, UniKL MICET mengambil inisiatif menyediakan kemudahan peralatan yang lengkap dan terkini dalam bidang teknologi kejuruteraan kimia dan bio.

Jelasnya, institusi itu mempunyai lebih 43 buah makmal antaranya Makmal Analisis Kimia; Makmal Asas Kimia; Makmal Teknologi Kimia; Makmal Penyediaan, Ujian dan Penilaian Polimer; Makmal Pemprosesan Getah; Makmal Analisis dan Pemprosesan Makanan; Makmal Analisis dan Ujian Produk Kimia; Makmal Komputer; Makmal Rawatan Air; Makmal Kawalan PenceMARAn Udara dan Makmal Sains Alam Sekitar serta Makmal Loji Pandu.

Katanya, UniKL MICET juga merupakan pusat latihan teknikal World First Next Generation 3D Design Solution untuk Loji Kimia menggunakan perisian Plant Design Management System (PDMS) dan Reka Bentuk 3D.

“Lebih mengujakan, perisian Reka Bentuk 3D itu adalah yang pertama digunakan di dunia untuk proses pembelajaran dan pe­ngajaran di universiti,” katanya.

“Perisian Reka Bentuk 3D itu boleh diaplikasikan pengguna­an­nya seperti un­tuk industri mi­nyak dan gas dan petrokimia serta marin.

Beliau berkata, pusat la­tihan teknikal itu mampu melatih 60 pelajar pada waktu yang sama iaitu 30 untuk PDMS dan 30 untuk Reka Bentuk 3D.

Katanya, penubuhan pu­­sat tersebut akan membantu me­ningkatkan lagi kebolehpasaran graduan UniKL MICET dengan penambahbaikan kemahiran profesional yang di­terapkan kepada pelajar.

Katanya, perisian itu akan digunakan oleh pelajar menerusi subjek Reka Bentuk Loji 1 dan Reka Bentuk Loji 2 yang mana mereka kemudian dikehendaki merekabentuk loji kimia dengan mengaplikasikan teori-teori yang telah dipelajari di UniKL MICET.

“Dengan kemudahan ini, pelajar UniKL MICET dapat didedahkan dengan perisian terkini dan paling moden untuk merekabentuk loji kimia, sekali gus membantu melahirkan graduan yang dikehendaki oleh industri selain berpotensi untuk menembusi pasaran di peringkat global,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/sedia-kemudahan-makmal-kelas-dunia-1.654502

This entry was posted in Berita Kejayaan, Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.