DEPLB tingkat profesionalisme JKKK

ISMAIL SABRI YAAKOB bersama para graduan Diploma Eksekutif Pembangunan Luar Bandar dan Sijil Tadbir Urus Desa di Kuala Lumpur, baru-baru ini. UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz

KUALA LUMPUR 18 April – Seiring aspirasi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam menjayakan Da­sar Pembangunan Luar Bandar bagi menyokong Transformasi Nasional 2050 (TN50), Kolej Uni­versiti Agrosains Malaysia (UCAM) dengan kerjasama Institut Kemajuan Desa (INFRA) telah menawarkan program Diploma Eksekutif Pembangunan Luar Bandar (DEPLB). 

DEPLB diperke­nalkan dengan mat­la­mat untuk memperkasa institusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh negara menjadi pemimpin yang profesional, berkeyakinan tinggi, kompeten dan proaktif dalam mengurus tadbir kampung seiring dengan agenda transformasi nasional.

Program itu adalah satu inisiatif di bawah Transformasi Luar Bandar yang diilhamkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dilihat mampu untuk meningkatkan potensi diri JKKK menjadi pemimpin yang berilmu bukan hanya dalam pentadbiran malahan dari segi akademik supaya setanding pekerja-pekerja kerajaan sedia ada.

Seramai 16,000 pemimpin dan pelapis dalam institusi JKKK, JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA) serta agensi-agensi di bawah KKLW akan dipersiapsiagakan untuk memperkasa tahap urus tadbir serta profesionalisme mereka sebagai pemimpin akar umbi dari sudut teras pembangunan, ekonomi, sosial dan perundangan.

Buat masa ini seramai 70 orang JKKK, JKKKP dan JKKKOA serta agen­si di bawah KKLW yang dipilih dari seluruh Semenanjung Malaysia telah mengikuti program ini selama 3 bulan.

Antara modul yang ditawarkan di dalam kursus berkenaan adalah memperkasakan komuniti desa, kepimpinan, pelancongan luar bandar, transformasi desa, perakaunan, pengurusan mangsa bencana, pelan Malaysia, dan pengurusan pemeliharaan sumber desa.

Lebih menarik, ia disampaikan oleh tenaga profesional dan pegawai-pegawai KKLW, Majlis Amanah Rakyat (MARA), INFRA, Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) serta pensyarah yang berpengalaman daripada UCAM sendiri.

Sementara itu, UCAM yang merupakan syarikat milik penuh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyahut baik aspirasi Transformasi Luar Ban­dar KKLW supaya dengan adanya DEPLB ini dapat meningkatkan profesionalisme JKKK.

UCAM percaya dengan me­lahirkan lebih ramai graduan daripada program eksekutif ini akan membantu KKLW merealisasikan misi ‘Membandarkan Luar Bandar’ yang secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.

Bagi mewujudkan kumpulan profesional pengurusan luar bandar dalam kalangan anak-anak muda khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), UCAM turut menawarkan program Diploma Pembangunan Luar Bandar (DPLB) di bawah Fakulti Sains Sosial UCAM melalui sesi pembelajaran selama tiga tahun bermula sejak 2016.

Program itu merupakan yang pertama ditawarkan di Malaysia dan mendapat sam­butan yang baik serta mampu menarik minat banyak pihak kerana ia menawarkan prospek kerjaya yang terjamin, luas dan fleksibel.

Selain itu, program ber­kenaan juga menawarkan per­khid­matan kepada masyarakat luar bandar seiring dengan aspirasi Transformasi Luar Bandar KKLW dalam memperkasakan modal insan di luar bandar.

Dalam usaha pembangunan ini, UCAM akan terus bergerak maju dan berjaya mencipta nama di persada pendidikan tinggi negara sekali gus muncul institusi pengajian tinggi swasta terbaik.

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/deplb-tingkat-profesionalisme-jkkk-1.652389

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.