
ISMAIL SABRI YAAKOB dan Zulfikri Osman (enam dari kanan) bersama 15 penerima Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) Nano pada majlis pelancaran SPED Nano sempena Karnival Usahawan Desa Bera 2018 di Laman Kerayong, Bera, Pahang, semalam. UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
BERA 13 April – Komitmen kerajaan dalam membantu masyarakat luar bandar termasuk meningkatkan pendapatan golongan itu terserlah dengan pelancaran Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) Nano hari ini.
Skim yang dilancarkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu merupakan inisiatif terbaharu melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sekali gus memastikan bantuan pembiayaan menyeluruh di negara ini.
Skim berkenaan amat signifikan memandangkan lebih 75 peratus perniagaan di Malaysia merupakan perusahaan mikro dan melalui skim ini, usahawan kecil dengan pendapatan RM150,000 ke bawah layak dipertimbangkan untuk mendapatkan pinjaman mudah.
Melalui skim itu, setiap peminjam dapat membuat pinjaman mudah tanpa cagaran dan tanpa penjamin dengan nilai maksimum RM10,000 bagi setiap individu.
Menurut Ismail Sabri, dalam menjayakan program itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 juta untuk tahun ini, dengan sasaran 1,500 orang menjelang penghujung tahun.
“Melihat kepada keperluan dalam perusahaan mikro, kerajaan melalui KKLW telah mengecilkan lagi segmentasi perusahaan mikro ini dengan mengambil kira keperluan masyarakat luar bandar yang tidak mampu mendapatkan pinjaman bagi menjalankan perniagaan.
“Kita juga mendapati kira-kira 110,000 usahawan Melayu terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan, sebab itu program ini dibuat khusus untuk peniaga kecil,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran SPED Nano di Dataran Kerayong di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KKLW, Norison Ramli dan Timbalan Ketua Pengarah MARA, Zulfikri Osman.
Ismail Sabri menambah, skim pinjaman tersebut memfokuskan kepada perniagaan baharu yang beroperasi sekurang-kurangnya selama tiga bulan di 182 kawasan Parlimen dikenal pasti di kawasan luar bandar seluruh negara.
Katanya, pinjaman maksimum diberikan sebanyak RM10,000 dan kelulusannya dalam tempoh hanya tujuh hari bekerja dengan kadar keuntungan empat peratus melalui skim pembiayaan Islam.
Jelasnya, antara bentuk pembiayaan yang akan disediakan seperti pembelian stok dan inventori, pembelian aset, mesin, peralatan dan pengubahsuaian bangunan.
Dalam pada itu, beliau berkata, setiap peminjam diberikan kemudahan tanpa memerlukan sebarang penjamin atau cagaran dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya akaun bank peribadi.
“Kita juga akan terus melakukan pemantauan terhadap usahawan kecil berkenaan bagi membantu mereka meningkatkan lagi perniagaan mereka ke tahap yang lebih baik,” ujarnya.
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/komuniti/sped-nano-salur-bantuan-menyeluruh-1.648658