SPED NANO bantu usahawan kecil

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bergambar bersama penerima bantuan pada majlis pelancaran SPED NANO sempena Karnival Usahawan Desa KUD@BERA. – Foto Farizul Hafiz Awang

BERA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM15 juta untuk menyediakan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) NANO bagi membantu usahawan kecil bumiputera seluruh negara. 

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu membabitkan pembiayaan maksimum sehingga RM10,000.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan 1,500 usahawan kecil memberi manfaat pembiayaan itu dan dihadkan kepada mereka yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM150,000 setahun.

“Kita mempermudahkan proses pembiayaan skim berkenaan, antaranya tidak memerlukan penjamin dan cagaran selain peminjam tidak perlu mempunyai akaun perniagaan tertentu, malah ianya berlandaskan pinjaman Islamik.

“Proses kelulusannya hanya mengambil masa tujuh hari dengan kadar keuntungan sebanyak empat peratus dan tempoh pembayaran balik pinjaman selama lima tahun,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran SPED NANO di Laman Kerayong, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Ismail Sabri menyampaikan replika cek pembiayaan SPED NANO kepada 15 usahawan kecil dalam Parlimen Bera.

Sebelum ini, kementerian itu menyediakan kemudahan pinjaman mikro bagi perniagaan kecil yang mempunyai pendapatan RM300,000 setahun.

Namun, melihat keperluan usahawan yang baru berkecimpung dalam bidang perniagaan, ia mengecilkan lagi segmentasi perusahaan berkenaan menerusi SPED NANO.

Ketua UMNO Bahagian Bera itu juga berkata, bagi memastikan pinjaman berkenaan dibayar mengikut tempoh ditetapkan, pegawai pejabat MARA akan memantau perniagaan yang diusahakan oleh usahawan kecil berkenaan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/412498/sped-nano-bantu-usahawan-kecil

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.