Oleh : Lina Mastura Jasmawi
media@mara.gov.my
15 April, Subang – YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah menyempurnakan Majlis Himpunan ‘Saya Anak MARA’ yang berlangsung di Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) UniKL, Subang, Selangor Darul Ehsan.
Majlis yang dihadiri oleh hampir 5000 orang ini merupakan anjuran Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Kebangsaan (MUAFAKAT) bersama MARA dengan membawa tema “Menggenggam Langit Biru” bagi menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana telah banyak berjasa kepada anak-anak MARA. Melalui sokongan kerajaan, MARA telah berjaya melahirkan anak-anak MARA yang menyumbang kepada pembangunan negara yang sedang dan akan berperanan dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Pada hari ini, MARA telah beroperasi di 569 pusat pentadbiran yang memberi akses kepada rakyat di seluruh negara termasuklah di (8) lapan buah pejabat luar negara dengan kekuatan melebihi 18,000 warga kerja merangkumi warga subsidiari.
Kini hampir 120,000 anak-anak yang sedang menuntut ilmu di 358 Institusi Pendidikan MARA (IPMa) di seluruh negara termasuk yang sedang ditaja oleh MARA di universiti-universiti terkemuka dunia. Dan, semenjak penubuhan MARA sehingga sekarang, hampir 1.2 juta pelajar telah menerima manfaat melalui sektor pendidikan MARA.
MARA bukan hanya agresif dalam membangunkan modal insan berkualiti negara, malah, lebih daripada 1.1 juta orang usahawan telah menerima manfaat melalui sektor keusahawanan MARA menerusi pelbagai skim pembiayaan, latihan keusahawanan dan sewaan premis perniagaan.
Lebih dua (2) juta penerima manfaat yang telah menerima kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh MARA khusus untuk membawa kaum Bumiputera ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan aspirasi kerajaan. Perjuangan MARA ini telah memberi impak besar kepada pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera seterusnya menjadi pemangkin atau catalyst pembangunan negara pada hari ini.
Majlis pada hari ini dilihat amat istimewa apabila anak-anak MARA dihimpunkan di kawasan hangar sebagai simbolik menunjukkan bahawa MARA bukan lagi berada dalam industri yang konvensional tetapi telah mula mengorak langkah meneroka industri berteknologi tinggi dan bidang-bidang termaju seperti aeroangkasa.
Antara inisiatif MARA bagi memperkasakan penerokaan ini termasuklah menubuhkan MARA Aerospace & Technologies Sdn Bhd (M-AeroTech) dan Asia AeroTechnics Sdn Bhd (AAT). M-AeroTech berperanan dalam memacu penglibatan syarikat bumiputera di dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa manakala AAT yang merupakan pakar di dalam sektor Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) adalah platform kepada pelatih-pelatih UniKL MIAT membina kerjaya sebagai License Aircraft Engineer (LAE).
Bagi meneruskan agenda MARA dan Bumiputera untuk terlibat secara langsung dalam bidang aeroangkasa ini, maka pada hari ini MARA menjalinkan kolaborasi bersama Malaysia Aviation Group (MAG) bagi Program Jaminan Kerjaya (Job Guaranteed Program) yang menjuruskan kepada pendapatan tinggi dalam bidang aeroangkasa. Program kerjasama ini merupakan platform yang pantas dimana pelajar-pelajar yang terpilih sebagai Kadet Pilot akan mendapat jaminan peluang pekerjaan dengan pihak Malaysia Airlines Berhad. MARA telah menawarkan pinjaman kepada 23 orang pelajar bagi tempoh pengajian selama 2 tahun melibatkan peruntukan sebanyak RM 7,590,000.00. 23 orang pelajar ini terdiri daripada 14 graduan UniKL MIAT dan 9 orang graduan UTHM.
Sementara itu, di bawah Program Perantisan Profesional (Professional Apprenticeship Program), MARA juga menawarkan Program Perantisan Profesional Penyelenggaraan Pesawat DCAM Part-66 iaitu Lesen Jurutera Penyelenggaraan Kapal Udara Tanpa Pengkhususan Jenis Pesawat atau ‘Aircraft Maintenance Engineer’s Licence Without Type Rating’ (Part 66 Category B1.1). Program ini merupakan koloborasi antara UniKL MIAT dengan Asia Aerotechnic (AAT) iaitu sebuah syarikat komersil milik MARA dalam bidang senggaraan kapalterbang. Pada masa ini, 10 orang pelajar telah terpilih untuk ditaja bagi mengikuti program ini dengan jumlah peruntukan tajaan RM 593,320.00 untuk tempoh 2 tahun pengajian.
Kedua-dua program ini dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan Penganjuran Pelajaran MARA berjumlah RM2.5 billion yang telah diumumkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Bajet 2018 yang lalu.
Turut hadir pada majlis ini , YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak,Perdana Menteri Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Awang Adek bin Haji Hussin, Pengerusi MARA dan YBhg. Dato’ Azhar bin Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA.