KPTM taja yuran 50 pelajar baharu

PEGAWAI Pemerintah Batalion Pertama 505 Aw Mekanise, Leftenan Kolonel Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Sutan Abu Bakar (lima kanan) diiringi Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Datuk Ahmad Nazlan Idris (enam dari kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar (empat dari kanan) bergambar bersama pengunjung yang hadir pada Program Jelajah Pendidikan Bumiputera Jerantut di Dewan Majlis Daerah Jerantut. – Foto Nazirul Roselan

JERANTUT: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) akan menanggung yuran pendaftaran RM250 kepada 50 pemohon pertama yang membuat pendaftaran di sembilan kampus cawangannya di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata ia adalah tanggungjawab sosial korporat organisasi itu menerusi KPTM Sehati Sejiwa dalam melestarikan pendidikan di kawasan luar bandar selaras dengan aspirasi kerajaan dalam meningkatkan kualiti pendidikan kepada anak bangsa.

“Tajaan bayaran pendaftaran itu tertakluk pada syarat kelayakan mereka yang berpendapatan isi rumah RM4,000 sebulan iaitu bagi golongan berpendapatan B40 dan mempunyai keputusan SPM atau STPM atau setaraf yang cemerlang.

“Menerusi tajaan ini, kita berusaha membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dan bayaran yuran selebihnya boleh dibayar menerusi pinjaman kewangan yang disediakan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasiona (PTPTN) atau Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Ini juga adalah peluang terbaik yang ditawarkan oleh KPTM kepada pelajar luar bandar yang cemerlang untuk mendapat pendidikan berkualiti dengan melanjutkan pengajian di KPTM,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Jelajah Pendidikan Bumiputera Peringkat Daerah Jerantut,di Majlis Daerah Jerantut, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pegawai Memerintah Batalion Pertama 505 AW Mekanise, Lt Kol Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Sultan Abu Bakar.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Ahmad Nazlan berkata, setakat ini, KPTM menawarkan kursus profesional bagi memenuhi pasaran pekerjaan seperti perniagaan dan perakaunan, pengajian kursus perakaunan profesional, bio-industri dan sains kesihatan, sains komputer dan teknologi maklumat, multimedia kreatif dan kejuruteraan.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata, rakyat perlu bijak memilih pemimpin yang boleh menjaga kebajikan rakyat terutamanya dalam bidang pendidikan kerana pendidikan adalah asas penting dalam pembentukkan insan dan pembangunan sesebuah negara.

“Pemimpin yang berwibawa akan sentiasa memikirkan kepentingan dan memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Sebagai contoh program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) ini memberi peluang yang luas kepada anak Melayu dan Bumiputera luar bandar melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi,” katanya.

Source : https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/04/409929/kptm-taja-yuran-50-pelajar-baharu

 

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.