[VIDEO] Najib rasmi pecah tanah GiatMARA Prima, MRSM Ulul Albab

PENDUDUK kampung yang hadir menyaksikan Majlis Pecah Tanah GiatMARA Prima dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab, Ketereh di tapak pembinaan Kg. Padang Salim, Melor, di sini. – UTUSAN ONLINE

KOTA BHARU 11 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Serentak GiatMARA Prima dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab, Ketereh di tapak pembinaan Kg. Padang Salim, Melor, di sini.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM11.7 juta bagi pembinaan Pusat GiatMARA Prima berkenaan manakala, RM120 juta bagi pembinaan MRSM Ketereh.

Pusat GiatMARA Prima yang dijangka siap pada Oktober tahun depan bakal menawarkan lima kursus pengajian seperti Kursus Teknologi Automotif dan Kursus Masakan.

Manakala MRSM Ketereh merupakan MRSM pertama di negeri ini yang melaksanakan sistem pendidikan Ulul Albab yang bertujuan melahirkan generasi yang berkebolehan menghafaz 30 juzuk al-Quran serta memahami tuntutan kitab agung berkenaan.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki;?Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr . Awang Adek Hussin dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa. – UTUSAN ONLINE

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-najib-rasmi-pecah-tanah-giatMARA-prima-mrsm-ulul-albab-1.646730

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.