Kenangan MRSM PC 1973

Tidak dinafikan aset terbesar negara adalah sumber intelektualnya yang ditanam melalui proses pendidikan. Sistem pendidikan berkualiti tinggi akan dapat mewujudkan individu yang mampu berfungsi secara intelektual dan produktif dalam masyarakat.

Salah satu kajian yang luar biasa dalam meningkatkan petensi manusia sepenuhnya telah dilakukan oleh Prof Lewis Terman dari Stanford University mengenai perkembangan intelektual 1500 kanak-kanak yang ditarifkan sebagai anugerah dan berbakat.

Kanak-kanak itu dipilih melalui ujian Stanford-Binet dan mereka terbukti berbakat dalam akademik

Hasil kerja Prof Terman telah memberi inspirasi kepada ahli akademik Malaysia yang kemudianya memulakan percubaan yang sama mengenal pasti pelajar yang berbakat dalam akademik.

Satu carian di seluruh negara dibuat dalam misi untuk mencari “yang terbaik dan paling berbakat” untuk dijelmakan ke dalam kumpulan yang baru ditubuhkan ditiga buah sekolah yang dinamakan Maktab Rendah Sains MARA Seremban (1972), Pengkalan Chepa (1973) dan Kuantan (1974).

MRSM adalah sekolah berasrama penuh yang bertujuan menggalakkan perkembangan dan minat pelajar terutama dalam Sains dan Matematik.

Saya juga tidak lupa akan Ujian MARA yang terdiri daripada pada Ujian Kecerdasan (IQ), Ujian Bahasa Inggeris dan Ujian Sains Dan Matematik yang bertindak sebagai penapisan sistematik pelajar yang ditetapkan sebagai keperluan untuk kelayakan diterima masuk sebagai pelajar MRSM.

Sebagai salah seorang pelajar perintis MRSM Pengkalan Chepa (PC) 1973, ramai yang akan berangapan bahawa adalah menjadi tekanan kepada mereka yang mengikuti ujian tersebut, namun suka saya kongsikan sedikit ‘ apalah kanak-kanak berusia 12 tahun’ sedar sama ada keadaan itu dipengaruhi tekanan atau tidak.

Yang penting hadir menjadi calon dan menjawab sebaik mungkin. Betul atau salah, lulus atau gagal tidak berada dalam pemikiran (untuk diri saya).

Seingat saya juga kami (saya dan rakan sekelas dari Sekolah Inggeris Putra) sebelum ini juga sudah ditawarkan ke Sekolah Menengah Sains dan juga Sekolah Menengah Derma (dua buah sekolah terbaik ketika itu di Perlis).

Mungkin sudah ditakdirkan kami bertujuh berjaya dalam ujian dan diterima untuk melaporkan diri sebagai pelajar MRSM PC 1973 dan empat rakan perempuan sekelas kami juga berjaya ke Kolej Tunku Khursiah.

Apa yang saya ingin kongsikan disini adalah ‘mungkin kami sudah ditakdirkan’ kerana kepada yang ke TKC atau MCKK pastinya Ujian Darjah 5 mestilah dengan 5A, sementara kami yang ke MRSM perlu ada 3A dan 4A.

Bagi kami di MRSM PC 1973 mungkin sudah boleh dipanggil pelajar perintis kerana MRSM Seremban 1974 telah bertukar menjadi Kolej Pendidikan MARA Seremban.

Namun aspek ‘anak orang miskin’ dan ‘luar bandar’ mungki tidak berapa sesuai ketika itu memandangkan kebanyakan daripada kami adalah golongan pertengahan.

Saluran pengambilan dari tingkatan 1 merupakan aspek yang baik kerana kami bersama selama 5 tahun pengajian dan ini telah mengeratkan perhubungan dan pertalian persaudaraaan kami sehingga kini, alhamdulillah.

Sungguh pun dikatakan matlamat penubuhan MRSM adalah untuk melahirkan ‘ahli dalam sains dan teknologi’ namun akhiranya perseimbangan kerjaya dalam bidang sastera dan sains teknologi yang terjadi.

Tidak semua berjaya mencapai status saintis, jurutera, peguam, doktor tapi tidak kurang juga yang berjaya memegang jawatan di syarikat swasta dan ada yang memiliki syarikat sendiri.

Pada zaman 70-an, ibu bapa hanya menunggu kami dan menghantar kami dari rumah sahaja kerana semua sudah diuruskan oleh pihak MRSM. Makan minum, tempat tinggal, peralatan makmal memang sentiasa mencukupi.

Kami belajar dalam ‘kelas terbuka’ dengan maksud tiada bilik darjah, masing-masing dapat tengok apa kelas lain sedang buat.

Bagi pelajar aliran Inggeris, kami berpeluang belajar dengan ‘the American Peace Cops’ sementara bagi aliran Melayu dengan guru Sains hebat dari Indonesia.

Sesuai dengan aliran Sains nama kelas kami pun merupakan nama ahli sains terkenal seperti Einstien, Mendeleyef, Newton, Curie, Pasteur dan Darwin (mengikut ranking).

Tidak dinafikan sebaik sahaja Peperikasaan MCE tamat hampir semua pelajar Einstien, Mendeleyef,Newton,Curie dan Pasteur meneruskan pelajaran ke Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dan hanya pelajar Pasteur dan Darwin yang meneruskan pelajaran di Malaysia (memandangkan mereka dari aliran Melayu).

Sepakatan kami dari mendiami rumah kayu MARA sehingga tamat tahun 1977 memang memberi banyak kenangan dan keterujaan sehingga hari ini.

Dan lagu rasmi MRSM oleh Allahyarham Tuan Haji Wan Ariffin Wan Chek merupakan dendangan sebati dalam sanubari kami.

Penulis: Azizi Ahmad (Penulis ialah pendidik di IPBG Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai)

Sumber: Sinar Harian m/s 24 10/4/2018

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.