MASYARAKAT PAGOH TERIMA MANFAAT MELALUI 1MPAK

Tuan Haji Ismail Ahmad memotong riben sebagai simbolik perasmian 1MPAK Pagoh.

Oleh : Mohd Taufek Bin Mohd Noh
media@mara.gov.my

PAGOH, 8 April 2018 – Program Inisiatif Melestari Pembangunan Komuniti (1MPAK) oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) wajar dipuji dalam memberi penerangan secara terus kepada rakyat di peringkat akar umbi berkenaan program serta peranan yang dimainkan oleh kerajaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Johor, Tuan Haji Ismail Ahmad, pelbagai inisiatif yang dibawa oleh 1MPAK sememangnya dinanti oleh masyarakat di Pagoh dan diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Sambutan orang ramai yang hadir ke program hari ini membuktikan 1MPAK memberi manfaat besar kepada mereka bukan sahaja dalam bidang keusahawanan malah meliputi peluang pekerjaan yang ada melalui Graduate Employability Training Scheme (GETS) pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program 1MPAK Parlimen Pagoh di samping menyampaikan cek pembiayaan MARA kepada tiga usahawan tempatan di sini hari ini.

Sementara itu, menurut salah seorang penerima pembiayaan MARA, Encik Sadrudin bin Tahar, 69, berterima kasih atas bantuan berjumlah RM 100,000 di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres MARA dan beriltizam untuk mengembangkan lagi perniagaannya dengan memberi perkhidmatan menaiktaraf paip terbaik di daerah Muar.

Turut hadir ke majlis adalah Pengarah Sumber Manusia MARA, Mohd Salleh Abdullah, Timbalan Pengarah MARA Negeri Johor, Zulkifli Bin Baba serta Pegawai Daerah Muar, Tuan Haji ‘On Jabbar@Ja’ffar.

1MPAK seterusnya akan menjelajah ke Bukit Katil Melaka pada 14 April ini. Nantikan kehadiran kami di sana!!!

This entry was posted in Korporat, Usahawan. Bookmark the permalink.