Usahawan GTG eksport RM35 juta produk halal

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Awang Adek Hussin (empat dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman di antara Energy Builder Network Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengarah Energy Builder Network Sdn Bhd, Normazita Md Jan (dua dari kiri) dengan Munif Hijjaz Marketing Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Munif Hijjaz Marketing Sdn Bhd, Ustaz Munif Ahmad (empat dari kanan) pada Simposium Gelatin Halal sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2018 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia hari ini. – UTUSAN ONLINE/Azrul Edham Mohd. Aminuddin

KUALA LUMPUR 5 April- Lima syarikat bumiputera pemain industri halal berjaya memperoleh kontrak dagangan bernilai RM19.266 juta melibatkan 33 stok keeping unit (SKU), melalui program Gate to Global (GTG) anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, berkata, GTG menjadi platform untuk usahawan bumiputera melebarkan perniagaan ke peringkat global, terutamanya bagi pemain industri halal negara.

“Industri halal adalah industri paling cepat berkembang di dunia sehingga mencapai nilai USD2.3 trilion, dan GTG boleh menjadi platform bagi usahawan melebarkan sayap ke luar negara.

“Setakat ini, usahawan GTG telah berjaya mengembangkan pasaran ke Jepun, China, Korea, Emiriah Arab Bersatu, Republik Niger, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong dan Indonesia,” katanya pada sidang media selepas upacara pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat halal bumiputera dengan ejen-ejen pemasar serta pengimport luar negara di Simposium Ekosistem Gelatin Halal bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2018 (Mihas 2017).

Biarpun baru tujuh bulan dilancarkan, setakat ini GTG telah berjaya membantu usahawan bumiputera mendapatkan kontrak dagangan RM35.266 juta dengan 57 SKU. – UTUSANONLINE

Sumber : http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/usahawan-gtg-eksport-rm35-juta-produk-halal-1.642448

This entry was posted in Korporat, Pelaburan, Usahawan. Bookmark the permalink.