200,000 gunakan perkhidmatan di UTC Negeri Sembilan

Datuk Seri Mohamad Hasan

SEREMBAN 4 April – Hampir 200,000 orang telah menerima perkhidmatan daripada Pusat Transformasi Bandar (UTC) Negeri Sembilan yang terletak di Plaza Ampangan dekat sini sejak ia dibuka November tahun lalu hingga Mac lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara mencatatkan jumlah pelanggan tertinggi iaitu sebanyak 65,030 orang diikuti Lembaga Tabung Haji (23,477 orang) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (20,953 orang).

Selain itu, katanya, seramai 15,617 orang telah mendapatkan perkhidmatan daripada Jabatan Imigresen Malaysia, 11,488 orang (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan 11,163 orang (klinik kesihatan).

“Berdasarkan statistik ini jelas menunjukkan bahawa penubuhan UTC oleh kerajaan telah memberikan manfaat yang amat besar kepada orang ramai.

“Banyak kemudahan disediakan di bawah satu bumbung dan perkhidmatan ditawarkan hingga waktu malam dan pada hujung minggu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

UTC berkenaan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 November tahun lalu.

Bangunan tiga tingkat itu menempatkan 18 agensi kerajaan dan swasta antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional; Majlis Amanah Rakyat, Kementerian Belia dan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd.

Berikutan kejayaan itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri akan memohon untuk menubuhkan UTC di Nilai dekat sini dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Baru Serting dekat Jempol.

“Daerah Nilai mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi terdiri daripada kakitangan awam, swasta, universiti dan orang awam.

“Kita juga telah mengenal pasti lokasi untuk mendirikan RTC di Jempol dan akan memohon supaya projek itu dapat dilaksanakan dengan segera,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/nasional/200-000-gunakan-perkhidmatan-di-utc-negeri-sembilan-1.641617

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.