KPTM rai 413 penuntut cemerlang

Mohd Zaidi (duduk empat, kiri) dan Abdul Azmi (duduk empat, kanan) bersama penuntut yang mendapat Anugerah Senat KPTM.

BATU PAHAT – Kolej PolyTech MARA (KPTM) Batu Pahat meraikan 413 penuntut yang mendapat keputusan cemerlang dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) kolej berkenaan bagi sesi Julai 2017.

Pada majlis tersebut, 387 penuntut dapat Anugerah Dekan dan 26 pula Anugerah Senat setelah mencapai Grade Point Average (GPA) 4.0.

Pengarahnya, Mohd Zaidi Zakaria berkata, bagi Anugerah Dekan, penuntut bidang teknikal yang mendapat GPA 3.5 dan ke atas telah dipilih manakala dalam bidang bukan teknikal pula mereka perlu mendapat GPA 3.75 dan ke atas.

Katanya, bagi pencapaian kali ini berbanding sesi Januari 2017 mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus untuk Anugerah Dekan, tetapi Anugerah Senat bertambah dua penuntut.

“Maka diadakan setiap semester untuk meraikan penuntut cemerlang, selain pembakar semangat kepada penuntut lain,” katanya.

Beliau ditemui ketika Maka Sesi Julai 2017, yang turut dihadiri dan dirasmikan Timbalan Presiden Akademik KPTM, Abdul Azmi Abdul Aziz di Dewan Utama KPTM Batu Pahat.

Tambah Mohd Zaidi lagi, pada majlis tersebut selain meraikan penuntut, KPTM Batu Pahat turut meraikan tenaga pengajar yang cemerlang dalam bidang akademik serta aktiviti luar.

Katanya, anugerah berkenaan ialah Anugerah Student Instruction Evaluator (SIE) yang dipilih berdasarkan maklum balas daripada penuntut sendiri yang dinilai menerusi sesi kuliah tenaga pengajar atau pensyarah ini.

Dalam pada itu, Abdul Azmi mengingatkan kepada penuntut agar sentiasa berusaha dan lebih tekun serta gigih agar harapan KPTM untuk melahirkan bilangan mereka yang berpendidikan akan terus meningkat.

“Kita harap setiap penuntut KPTM mampu menembusi setiap lapangan industri dan selain itu, ia akan mampu melahirkan penuntut pakar dalam pelbagai bidang termasuk kegiatan luar,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/kptm-rai-413-penuntut-cemerlang-1.816418

This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.