GiatMARA Kemaman tawar kursus kereta api

Nawi diarak masuk ke Majlis Graduasi GiatMARA Terengganu di IKM, semalam.

BESUT – Pusat GiatMARA Kemaman dipilih menawarkan kursus dalam bidang berkaitan industri rel dan kereta api bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepengunaan negeri, Nawi Mohamad berkata, GiatMARA Kemaman dipilih bagi negeri Terengganu untuk melatih tenaga mahir dalam bidang tersebut.

Menurutnya, pengambilan pertama pelatih seramai 20 orang akan dilakukan pada tahun ini dalam bidang berkaitan kereta api untuk menyediakan tenaga kerja pakar bagi memenuhi industri tersebut.

“Bidang yang akan ditawarkan ialah signal link, gerabak dan landasan malah kursus ini diadakan dengan kerjasama Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

“Melalui kerjasama ini nanti, pelatih berpeluang untuk mendalami bidang ini ke China,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kepada 429 pelatih GiatMARA seluruh Terengganu dalam Majlis Graduasi GiatMARA 2018 bertempat di Dewan Besar, Institut Kemahiran MARA (IKM) Besut, di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Eksekutif GiatMARA Malaysia, Jabar Azman, Pengarah MARA Terengganu, Mohd Azli Sobi dan Pengarah GiatMARA Terengganu, Wan Ahmad Roslizam Wan Husin.

Nawi berkata, perkembangan pesat industri keretapi negara menerusi projek kerajaan memerlukan tenaga kerja dalam bidang tersebut.

Dalam pada itu, Nawi mengesyorkan lepasan sekolah yang gagal memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) agar memohon masuk belajar di GiatMARA.

Menurutnya, GiatMARA menawarkan pelbagai kursus yang kompetitif dan memenuhi keperluan semasa di samping lepasan GiatMARA mempunyai kadar kebolehpasaran kerja yang tinggi.

“Lepasan GiatMARA bukan sahaja berpeluang bekerja dalam sektor tertentu malah boleh menjadi usahawan dalam bidang diceburi mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azli berkata, MARA tidak mengenepikan lepasan GiatMARA apabila MARA kini memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian atau kursus ke peringkat lebih tinggi.

“Sekarang mereka berpeluang sambung ke peringkat diploma di IKM dengan syarat kemasukan yang lebih longgar dan MARA turut menyediakan skim bantuan seperti pinjaman modal atau geran untuk membantu mereka membeli mesin dan peralatan bagi yang ingin menjalankan perniagaan sendiri,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/giatMARA-kemaman-tawar-kursus-kereta-api-1.818274

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.