PARLIMEN: IKS catat untung 22.57 peratus

DATUK Alexander Nanta Linggi. – Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mencatatkan keuntungan sebanyak RM294 juta tahun lalu berbanding RM240 juta pada tahun 2016.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata peningkatan sebanyak 22.57 peratus itu membuktikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sentiasa memastikan usahawan dibantu bagi menghadapi persaingan pasaran.

“Kita sudah belanjakan RM116 juta untuk membiayai 52 IKS seluruh negara dan menyediakan integrasi program latihan serta kemudahan pembiayaan bagi mengukuhkan infrastruktur perniagaan.

“Selain itu, RM20 juta juga digunakan bagi menaiktaraf enam buah lokasi untuk dijadikan pusat transformasi halal mengikut Pengiktirafan Pensijilan Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dan Pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang diajukan Datuk Ahmad Nazlan Idris  berhubung usaha MARA dalam membantu usahawan IKS menghadapi persaingan ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, Inkubator Teknologi Makanan MARA (INTEM) adalah antara program yang diteruskan menerusi kerjasama agensi-agensi kerajaan bagi memeriksa kebersihan makanan dan bahan yang digunakan.

“Kita bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk pastikan kualiti makanan mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Bantuan yang disalurkan secara berterusan dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh usahawan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/04/406602/parlimen-iks-catat-untung-2257-peratus

This entry was posted in Korporat, Usahawan. Bookmark the permalink.