11 insentif untuk PKS bernilai RM2.9 bln

Najib Tun Razak (tengah) menyampaikan anugerah Usahawan Belia Bumiputera kepada Nur Liyana Abdul Malek sempena Program Himpunan Usahawan Bumiputera 2018 (HUB2018) di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. – UTUSAN ONLINE/AMIR KHALID

KUALA LUMPUR 30 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 11 insentif baharu dan tambahan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bernilai RM2.9 bilion.

Beliau berkata peruntukan terbesar berjumlah RM2 bilion akan disalurkan kepada program Dana Mudahcara Bumiputera Fasa Kedua.

Katanya dana sebanyak RM500 juta akan disediakan untuk mempergiatkan pembangunan usahawan Bumiputera dalam industri peruncitan dan pengedaran.

“(Daripada jumlah itu) RM200 juta diperuntukkan oleh kerajaan dan RM300 juta lagi daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB),” katanya ketika berucap pada Himpunan Usahawan Bumiputera (HUB) di sini.

Beliau berkata insentif RM50 juta juga akan diperuntukkan untuk membantu penyenaraian syarikat PKS di pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) .

“Bagi tujuan ini, geran padanan berjumlah RM500,000 akan diberikan kepada setiap syarikat yang berjaya disenaraikan dalam Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corporation Malaysia (SME Corp),” katanya.

Katanya peruntukan berjumlah RM40 juta akan disalurkan kepada program Local to Global Corporation Ascend 800 (LGC800) yang akan memberi manfaat kepada 80 syarikat PKS Bumiputera berprestasi tinggi dalam bentuk pinjaman mudah sehingga RM500,000 bagi setiap syarikat untuk mentransformasi perniagaan masing-masing.

Najib berkata dana RM60 juta diperuntukkan bagi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) untuk mempersiap dan melatih 3,000 belia Bumiputera bagi tahun 2019.

Katanya sebanyak RM50 juta juga akan diperuntukkan bagi pelaksanaan WIRA eDagang Digital Free Trade Zone untuk 10,000 PKS Bumiputera dalam tempoh tiga tahun.

“Inisiatif ini yang akan diuruskan bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), SME Corp dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bertujuan mengglobalkan syarikat Bumiputera berasaskan e-dagang,” katanya.

Insentif lain, katanya peruntukan RM50 juta bagi program SpeedMeUp di bawah SME Corp untuk membantu syarikat permulaan Bumiputera dengan geran padanan sehingga RM250,000 untuk memulakan operasi perniagaan.

Katanya RM50 juta juga akan diperuntukkan di bawah Dana Insentif Pelaburan untuk melonjakkan pemilikan ekuiti Bumiputera yang terlibat dalam sektor strategik terpilih.

Najib berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan turut melanjutkan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) berjumlah RM50 juta yang akan memberi manfaat kepada 3,000 kontraktor Bumiputera.

“MARA juga akan memperuntukkan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) berjumlah RM50 juta kepada usahawan mikro dan kecil,” katanya.

Katanya insentif lain ialah Galakan Elaun Peningkatan Eksport bagi PKS yang dilanjutkan untuk tempoh dua tahun hingga 2020.

Perdana Menteri turut mengumumkan insentif berbentuk bukan kewangan iaitu pemerkasaan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dengan diberi mandat untuk menjadi penyelaras tunggal bagi semua dasar dan program berkaitan Bumiputera di setiap peringkat kementerian, agensi, koridor dan syarikat berkaitan kerajaan.

Selain 11 insentif itu, Najib turut mengumumkan penubuhan Persatuan Bumiputera SME Malaysia (BumiSME) sebagai platform untuk menyatukan semua PKS daripada pelbagai latar belakang dan industri.

Katanya Pengerusi SME Corp, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa sementara persatuan berkenaan dan dana awalan berjumlah RM10 juta akan disalurkan kepada BumiSME menerusi SME Corp.

“Dengan dana ini, saya mengamanahkan persatuan BumiSME untuk menganjurkan Pesta Mega Tahunan Ekspo dan Jualan PKS Bumiputera Negara,” katanya.

Katanya ekspo tersebut akan menghimpunkan usahawan dari seluruh negara untuk mempamerkan dan menjual produk dan perkhidmatan mereka secara besar-besaran sama ada secara B2B (perniagaan kepada perniagaan) atau B2C (perniagaan kepada pengguna). – BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/11-insentif-untuk-pks-bernilai-rm2-9-bln-1.638391

This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.