SALUT, AHMAD LUQMAN AHMAD ZAINI HARUMKAN NAMA MRSM JUARAI PERTANDINGAN MUSABAQAH HAFALAN AL-QURAN ASIA PASIFIK

ahmad luqman ahmad zaini bersama hadiah dan trofi yang dimenangi

Oleh : Ziela Amin
media@mara.gov.my

Sepang- Pelajar tahun kedua Diploma Tahfiz Darul Quran Kuala Kubu Bharu, Ahmad Luqman Ahmad Zaini, 20, ungguli Pertandingan Musabaqah Hafalan Al Quran peringkat Asia Pasifik yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada 20 hingga 22 Mac yang lepas. Beliau merupakan johan menghafaz al-Quran kategori 10 dan 20 juzuk selepas menewaskan 70 peserta daripada 14 negara yang mengambil bahagian.

Berkongsi rahsia kemenangan, Ahmad Luqman berkata beliau mula menghafaz al-Quran sejak berumur tiga tahun.

“Saya bersyukur kerana dibimbing oleh guru-guru yang terbaik bermula ketika saya belajar di Sekolah Kebangsaan Saujana Utama, Sungai Buloh dan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Gemencheh, Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut beliau, sebelum menghafaz, seorang hufaz perlu membetulkan makhraj dan tajwidnya terlebih dahulu.

“Walaupun saya pernah bergelar juara kategori yang sama pada pertandingan hafazan peringkat kebangsaan tahun lepas, namun debaran tetap ada memandangkan persaingan kali ini dirasakan lebih  sengit kerana melibatkan peserta hebat peringkat antarabangsa seperti Filipina dan Indonesia,” ujar Ahmad Luqman.

salut ahmad luqman dan muhammad dzulfaqar harumkan nama negara

Beliau bersama peserta senegara yang turut menjuarai pertandingan ini, Muhammad Dzulfaqar Mohd Zaini,19, menunjukkan piala johan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat lalu.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada kedua-dua peserta kerana telah mengharumkan nama negara.

 

This entry was posted in Berita Kejayaan. Bookmark the permalink.