
PENGERUSI MARA, Datuk Dr. Awang Adek Hussin (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang graduan di Majlis Graduasi GiatMARA negeri 2018 di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU 1 April – Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan sokongan kerajaan meneruskan komitmen membangunkan modal insan dan taraf hidup bumiputera dalam pelbagai bidang dengan perbelanjaan lebih RM5 bilion pada tahun ini.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.5 bilion dikhususkan untuk bahagian penganjuran pelajaran termasuk bagi kemudahan pinjaman dan tajaan pelajar di dalam dan luar negara.
Beliau berkata, MARA juga melalui institusi seperti Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan UniKL sedang menyediakan tenaga mahir yang diperlukan dalam era Industri Revolusi 4.0 .
“Kerajaan mahu latih bukan sahaja modal insan berkemahiran tetapi matlamat utama adalah supaya golongan bumiputera mendapat peluang pendidikan dan seteruskan memperbaiki kedudukan sosial.
“Kita harapkan kerajaan yang ada dapat terus diberi sokongan oleh rakyat kerana jasa kerajaan kepada MARA dan rakyat begitu besar,” katanya selepas Majlis Graduasi GiatMARA negeri 2018 di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 488 graduan dari 15 cawangan GiatMARA seluruh negeri ini menerima Sijil Profesional GiatMARA dan SKM Tahap 2 dan Tahap 3 masing-masing.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah MARA negeri, Kamarul Zaman Mohamad; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Sallehhoddin Abu Bakar dan Pengarah GiatMARA negeri, Adek Awang Semail. – UTUSAN ONLINE
Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/MARA-belanja-rm5-bilion-tahun-ini-1.639338