10,000 kunjungi Karnival Inspirasi MARA

JOHAN ABD. AZIZ (tengah) menyampaikan sumbangan daripada pihak MARA kepada para pelajar dan usahawan semasa perasmian Karnival Inspirasi 2018 di MJII, Beranang, Selangor, hari ini.

SEMENYIH 31 Mac – Sebanyak 10,000 pengunjung membanjiri pekarangan Institut Perindustrian MARA-Jepun (MJII), Beranang di sini sempena Karnival Inspirasi 2018 anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, karnival tersebut merupakan usaha berterusan pihak MARA untuk meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi masyarakat Bumiputera khususnya di luar bandar.

Jelasnya, karnival berkenaan mendapat sambutan baik dalam kalangan pengunjung yang hadir untuk meninjau program pendidikan, keusahawanan dan peluang pekerjaan yang disediakan untuk para belia.

“Ibu bapa yang datang ke sini mempunyai kesedaran tentang masa depan pendidikan anak-anak mereka. Karnival ini turut memberi peluang kepada belia yang berminat menjadi usahawan dan mengetahui lebih lanjut peluang yang disediakan oleh pihak MARA.

“Saya berharap karnival ini dapat diadakan pada setiap tahun untuk memberi peluang kepada pelajar yang baharu menamatkan peperiksaan bagi mencari peluang melanjutkan pelajaran di bawah institusi pendidikan agensi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival berkenaan di sini.

Yang turut hadir Pengarah MARA negeri, Megat Zakaria Mgt Ahmad.

Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kl-putrajaya/10-000-kunjungi-karnival-inspirasi-MARA-1.638823

This entry was posted in Lain-Lain, Pendidikan. Bookmark the permalink.